Rabu, 13 Julai 2016

Kisah Pengorbanan Seorang Ibu Yang Sanggup Pinjam Ceti Untuk Hadiri Majlis Konvo Anak Di England

Pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak sungguh tak ternilai harganya. Semenjak dari dalam kandungan ibu telah melimpahkan anak dengan penuh kasih sayang sehingga ke akhir hayatnya. Dan semestinya kebahagiaan sebenar seorang ibu adalah apabila melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup.
Walaupun jauh beribu batu, ibu ini sanggup terbang ke England hanya kerana mahu melihat anaknya menerima ijazah. Yang tambah menyedihkan, terpaksa meminjam ceti dan berjalan dengan kaki yang sakit.

Maklumkan kepada ibu tarikh konvokesyen

IBU SAYA
‘Mungkin dia yang paling buruk. Tetapi dia ada.’
Bulan Jun tahun 2000 saya menamatkan pengajian saya di University of Sheffield dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik.
Tak cemerlang. Biasa-biasa je. Second Class Lower. Masa tu syarat pinjaman boleh ubah MARA, kalau dapat Second Class Lower dah boleh convert jadi biasiswa penuh. Lega.
Dah habis belajar, tiba pula masa untuk berkonvo. Kalau tak silap saya, bulan Julai dah konvo.
Lepas konvo, tamatlah riwayat kehidupan saya di England selama 5 tahun.
2 tahun di Bath. 3 tahun di Sheffield. Selama di England, 5 kali saya berhari raya di sana.
Setelah mendapat tahu tarikh konvo, saya memaklumkan kepada ibu saya tarikh keramat berkenaan.
Terlalu gembira barangkali, dia terus kata dia akan ke Sheffield. Saya agak terkejut kerana keadaan keluarga kami selama-lamanya miskin. Mungkin kadang tu jatuh ke darjat fakir.
Saya pun tahu, hutang ibu saya keliling pinggang. Tak terbayang difikiran saya bagaimana caranya untuk ibu saya akan ke Sheffield.
Masa tu semua adik-beradik saya sedang belajar di institusi pengajian tinggi. Semua perlukan wang.

Ibu nekad mahu meminjam dengan ceti untuk beli tiket ke England

Pada suatu ketika, kami bertekak kerana terkeluar daripada mulut ibu saya bahawa dia akan meminjam dengan ceti untuk pembelian tiket kapal terbang apabila saya menanyakan dimana nak cari wang untuk ke England.
Selepas beberapa panggilan telefon dengan ibu saya, kami senyap seketika, sambil saya hanya redha dengan ketentuan Ilahi bahawa ibu saya tidak akan hadir ke majlis konvo nanti.
Dalam hidup saya, inilah kali pertama saya konvo dan mengenali apa itu majlis konvo. Saya fikir, bukannya hal besar pun berkonvo ni. Beratur dan ambil sijil.
Satu hari, saya mendapat panggilan daripada ibu. Dia kata dia dah beli tiket ke England. Dia dah pinjam wang ceti. Saya dah game over. Dalam ria, ada duka dalam hati kerana ibu saya nekad sedemikian.
Ibu saya dijadualkan mendarat di Manchester Airport. Masa tu saya tak mahir selok belok Manchester Airport. Saya menanti ibu saya di Terminal 1 selama 2 jam. Dia tak kunjung tiba. Nombor kapalnya pun tak timbul-timbul.
Setelah yakin masa untuk ‘flight delay’ telah berlalu agak lama, saya mendapat tahu, bahawa penerbangan dari Kuala Lumpur hanya mendarat di Terminal 3.
Semasa mendapat tahu, Tuhan saja yang tahu perasaan saya pada waktu itu. Saya berlari sekuat tenaga ke Terminal 3. Sambil dalam fikiran terbayang ke mana la ibu saya akan merayau di lapangan terbang yang begitu asing baginya tanpa handphone bagai.

Ibu datang dengan luka di kaki, jalan agak terhencot-hencot

Di Terminal 3, dari jauh saya nampak ibu saya ke hulu ke hilir menolak trolley mencari-cari saya. Dari jauh juga saya lihat, sebelah kakinya berbalut putih.
Rupa-rupanya luka dikakinya yang memborak akibat penyakit kencing manis belum sembuh. Jalannya yang agak terhencot-hencot, terhenti apabila nampak kelibat saya. Lega.
Dari Manchester, kami mengambil keretapi ke Sheffield. Dalam train, ibu saya nampak agak gelisah kerana dia sampai ke England dengan meminjam ceti dan saya tidak menyokong keputusannya.
Kami akan mengelak bercakap berkenaan bagaimana dia membeli tiket dan siapa yang membantu membelinya.
Sampai di rumah sewaan saya di Sheffield, saya merawat luka di tapak kaki ibu saya dan menukar balutan. Melihatkan luka di kakinya, saya melupakan isu ceti yang menghantui kami.
Apabila tiba hari konvo, ibu saya hanya mengenakan pakaian baju kurungnya yang sudah lusuh dan digunakannya ke pejabat. Ibu saya tiada baju baru untuk dilaram semasa hari konvo. Ibu saya tiada barang kemas untuk dihias dirinya.
Apa yang ibu saya adalah senyuman kepuasan kerana dia telah sampai ke Octagon Hall untuk melihat saya menerima segulung ijazah.

Saya menangis sendiri, betapa besarnya kasih sayang ibu

Dalam dewan, setelah semua hadirin memenuhi ruang, saya terperasan bahawa semua keluarga kawan-kawan saya turut hadir. Sama ada ibu, bapa atau sanak-saudara, mereka datang dari Malaysia untuk menyaksikan majlis konvo ini.
Pada ketika itu, saya rasa bersyukur sangat kerana ibu saya juga ada di sisi saya pada hari yang bersejarah ini. Mungkin dia yang paling buruk. Tetapi dia ada.
Selepas menghantar ibu saya pulang ke Malaysia, Allah telah mengilhamkan kepada saya betapa azabnya ibu saya dalam perjalannya menyaksikan saya menerima segulung ijazah.
Berhutang dengan ceti. Berjalan dengan luka di kaki. Tiada wang saku. Tiada sesi photografi studio dengan saya memegang segulung. Kami tak mampu. Hanya photo-photo amatur menjadi kenangan.
Selepas mengucapkan selamat tinggal, saya menangis sendiri. Betapa besarnya kasih sayang seorang ibu. Layaklah jika Nabi saw menyebutnya 3 kali untuk dikasihi selepas Allah dan Rasul.
Sepanjang hidupnya, banyak kekurangan atas dirinya. Tak kurang juga yang menghina. Jarang dia bahagia.
Semoga Allah swt mengasihinya seperti mana dia mengasihani saya daripada dalam kandungan sehingga ke akhir hayatnya.
sumber: Ir Meor Shamshir

Tiada ulasan:
Write ulasan