Keganasan: Najib ikrar lindungi rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR - Di tengah-tengah ancaman terbaharu oleh pengganas di seluruh dunia, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melindungi mereka.

Najib

Perdana Menteri berkata, beberapa undang-undang telah diperkenalkan untuk tujuan ini berikutan permintaan daripada pasukan keselamatan.

"Undang-undang ini adalah perlu, dan negara-negara lain sejak itu telah mengikut jejak langkah kita," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menyenaraikan undang-undang tersebut sebagai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Najib menegaskan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara, khususnya, telah sengaja disalah tafsir.

"Ia tidak sama seperti pengisytiharan darurat di seluruh negara – bahawa kuasa kekal di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong – dan Parlimen masih bersidang dengan mengawasi mana-mana kawasan keselamatan yang diisytiharkan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah dikritik kerana meluluskan undang-undang tersebut termasuk oleh segelintir pihak yang khuatir mereka diburuk-burukkan atas sebab-sebab politik.

"Kerajaan saya tidak akan meminta maaf kerana lebih mendahulukan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.
Najib berkata, perlakuan keganasan di seluruh dunia menunjukkan bahawa ancaman itu adalah nyata dan menular, dan hampir tiada hari yang berlalu tanpa insiden keganasan.

"Kita tidak terkecuali di Malaysia kerana serangan pertama oleh militan IS ke atas kita bulan lepas menunjukkan ancaman itu wujud," kata beliau sambil merujuk kepada insiden pengeboman di kelab malam Movida di Puchong pada 28 Jun yang mencederakan lapan orang.

Perdana Menteri berkata, kumpulan militan IS dan ideologinya yang kejam dan menyeleweng tidak mempunyai tempat dalam Islam mahupun di Malaysia yang rakyatnya hidup dalam suasana aman, terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan bersikap toleransi.

"Sekarang adalah masanya untuk kita bersatu-padu dan memainkan peranan yang lebih besar bersama masyarakat dunia dalam perjuangan memerangi keganasan," katanya. - Bernama

0 comment... add one now