Khamis, 21 Julai 2016

"Kami Belum Nikah, Hanya Rancang Kahwin Di Bali" - Nora Danish

PETALING JAYA: Pelakon Nora Danish menyangkal dakwaan mengatakan dia telah bernikah dengan teman lelakinya, Nedim Nazri dalam satu majlis tertutup baru-baru ini.

Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 35, berkata, dia tidak pasti bagaimana dakwaan berkenaan timbul namun tidak menafikan ada merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

“Demi Allah saya masih belum berkahwin seperti didakwa namun perancangan ke arah itu memang ada, Insya-Allah dalam tahun ini juga.

“Bagaimanapun saya tidak mahu mencanang lebih-lebih soal ini kerana  ia masih dalam perancangan," katanya kepada mStar Online.



Nora ditemui ketika menghadiri majlis pelancaran muzik video 'Raniaku' terbitan Safi dan Aizat Amdan bertempat di Cathay Cineplex, eCurve di sini, Rabu

Dalam pada itu, Nora turut menyangkal pemergiannya ke Bali, Indonesia baru-baru ini kerana ingin meninjau lokasi pernikahan sebaliknya dia berada di pulau itu atas urusan bekerja.

Bagaimanapun Nora memberitahu dia dan Nedim sememangnya ada merancang untuk disatukan sebagai suami-isteri di pulau berkenaan namun masih belum membuat sebarang keputusan.

"Spekulasi tentang saya ke Bali untuk meninjau lokasi pernikahan juga tidak betul kerana saya ke sana atas urusan kerja bersama pihak Safi Rania.

“Nedim ada menjenguk saya pada hari terakhir penggambaran klip video tersebut di Bali itu namun kehadirannya bukanlah untuk membawa saya meninjau lokasi perkahwinan kami.

"Tetapi kami ada merancang untuk adakan majlis itu di Bali namun ia sekadar hasrat dan belum memutuskan apa-apa lagi," jelasnya.

Sementara itu, Nora berkata, dia tidak tertekan untuk melakukan persiapan perkahwinan kerana dia dan Nedim tidak berhasrat untuk mengadakan majlis besar-besaran.

"Seperti yang saya beritahu sebelum ini majlis kami nanti hanya akan diadakan secara ringkas tetapi penuh makna," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nora yang juga duta produk Safi Rania Gold turut berkongsi pengalaman mendebarkan ketika proses menyiapkan muzik video 'Raniaku' bersama pelakon Remy Ishak di Uluwatu, Bali.

Cerita Nora, bagi menyiapkan rakaman itu dia perlu berdiri pada tebing tinggi untuk mendapatkan visual menarik walaupun sebenarnya dia seorang yang takut pada ketinggian.
 
“Saya memang takut pada ketinggian sejak kecil dan ketika disuruh beraksi di tebing tinggi, saya memang gayat sehingga babak berkenaan perlu dilakukan beberapa kali.

'Raniaku' yang dinyanyikan oleh Aizat Amdan menjalani penggambaran di Bali selama enam hari dan ia diarahkan oleh Nan Salleh.

Ia merupakan projek pertama pihak Safi dan kos menghasilkan video muzik berkenaan ialah RM500,000.

'Raniaku' kini boleh ditonton menerusi YouTube.

Tiada ulasan:
Write ulasan