Isnin, 18 Julai 2016

Kadar Parking Di KL Naik 150%

KUALA LUMPUR - Kadar tempat letak kereta di pusat perniagaan ibu kota, naik tiga kali ganda berbanding sebelumnya, berkuat kuasa mulai hari ini secara berperingkat sehingga 1 Ogos 2016, lapor The Star. 



Kadar tempat letak kereta di kawasan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di beberapa pusat perniagaan terkemuka di ibu kota akan dinaikkan 150%. Jika sebelum pengguna dikenakan 80 sen bagi sejam pertama, kini kadarnya ialah RM2. Jam kedua dan seterusnya dikenakan caj RM3. 

Kawasan yang terbabit dalam peningkatan kadar baru itu ialah, Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar. Kadar di tempat letak kereta DBKL di luar pusat perniagaan ibu kota termasuk Brickfields, Taman Maluri, Cheras, Wangsa Maju dan Setapak juga dijangka meningkat. 

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, langkah itu adalah satu-satunya cara untuk mengurangkan kesesakan dalam bandar dan menggalakkan orang ramai berkongsi kereta, bukannya mahu mengaut keuntungan. 

"Kira-kira 50,000 kereta baharu didaftarkan di Kuala Lumpur setiap bulan. Dengan pelaksanaan peningkatan kadar baru ini dapat menggalakkan sekurang-kurangnya sejuta pemandu solo, mempertimbangkan kaedah menaiki pengangkutan awam atau berkongsi kereta ke pejabat.

"Jika anda dapat mengelak sejuta kereta memasuki pusat bandar, anda akan dapat menikmati jalan raya lapang seperti ketika sambutan Hari Raya minggu lalu. Ini bermakna semua orang dapat pulang ke rumah lebih cepat, meluangkan masa berkualiti dengan keluarga dan buat apa yang mereka suka," katanya. - Free Malaysia Today

Tiada ulasan:
Write ulasan