Jumaat, 29 Julai 2016

Johan (Raja Lawak) Perjelas Isu Kenakan Bayaran Mahal

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio, Johan Raja Lawak menyangkal dakwaan kononnya dia mengenakan bayaran yang tinggi kepada pihak produksi Super Spontan Superstar sebelum bersetuju bertanding dalam program berkenaan.
Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 32, sebaliknya berkata, tidak timbul isu bayaran tambahan pula produksi yang menerbitkan program itu adalah milik rakan baiknya sendiri iaitu Afdlin Shauki.

"Sejujurnya sebelum bersetuju dalam sesuatu projek pasti akan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak dan soal bayaran kebiasaannya mengikut tolak ansur.
"Seperti Super Spontan Superstar ia diterbitkan oleh rakan baik saya sendiri dan tidak munasabah jika saya kenakan bayaran tidak masuk akal seperti didakwa," katanya kepada mStar Online.
Super Spontan Superstar bakal bersiaran bermula 5 Ogos depan di saluran Astro Warna 132 dan Mustika HD 134 pada setiap hari Jumaat, 9 malam.


Ia turut bersiaran secara langsung setiap minggu di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini.

Dalam pada itu, Johan berkata, sebagai pelawak dia sentiasa menantikan untuk bertanding dalam Super Spontan Superstar kerana cabaran yang diketengahkan mampu menguji kreativitinya sebagai pelawak.

Malah katanya, idea-idea baharu itu juga berguna sebagai bahan untuk digunakan ketika ke udara sebagai penyampai radio.

"Ini adalah acara tahunan untuk saya kerana ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi ia mampu mengasah akal saya untuk cepat dalam membuat keputusan selain memikirkan idea-idea baharu ketika di pentas.

"Ia juga berguna untuk memperbaiki persembahan saya ketika bersiaran di radio kerana perlu sentiasa tampil dengan sesuatu yang segar agar pendengar tidak bosan," ujarnya. 
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatan isterinya dalam program sama, Johan berkata dia tidak melihat ia sebagai satu masalah malah memberi peluang kepada mereka untuk bersaing secara sihat.

Kata Johan, sekiranya Ozlynn tidak terlibat dalam program berkenaan wanita itu tetap akan bersamanya kerana dia juga adalah pengurusnya.

"Masuk atau tidak dia tetap berada dengan saya ke mana sahaja saya pergi.

"Jadi alang-alang dah dapat tawaran juga, apa salahnya tambahan pula inilah peluang kami untuk bersaing sesama sendiri kerana kami dipisahkan dengan kumpulan berbeza," jelasnya.

Akui Johan lagi, Ozlynn terlebih dahulu meminta kebenarannya sebelum membuat keputusan menyertai pertandingan itu.

Tiada ulasan:
Write ulasan