Jasad 3 Beranak Mangsa Tembak Disemadikan

GEORGE TOWN – Jasad tiga beranak, Tan Saw Sim, 55, anaknya Chung Wah Thong, 28, dan cucunya berumur dua tahun Chung Ay Dey, yang ditembak mati di sebuah kilang memproses ayam di Batu Maung pada Rabu lepas, disemadikan hari ini di Krematorium Batu Gantung di sini.


Jasad 3 Beranak Mangsa Tembak Disemadikan
Tan Yen Jun, ibu Ay Dey dan isteri Wah Thong tidak mampu menahan kesedihan tatkala jasad ketiga-tiga mangsa disemadikan dengan cara dibakar di krematorium itu.
Ratusan anggota keluarga, termasuk bapa Wah Thong dan bekas suami Saw Sim, kakak Wah Thong, Chung Lee Ping, 37, dan rakan-rakan memberikan penghormatan terakhir kepada kesemua mangsa.
Sebelum dibakar, jasad Wah Thong dibawa ke Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kerana beliau semasa hayatnya ialah seorang joki.
Lee Ping dilihat begitu sedih dan sukar untuk melepaskan pergi ibu, adik dan anak saudaranya itu sehingga terpaksa ditenangkan oleh anggota keluarganya.
Chung Ji Lian, 33, anggota keluarga yang rapat dengan Yen Jun berkata beliau masih terkejut dengan insiden tembakan itu dan beberapa bulan akan datang merupakan tempoh sukar buat keluarganya.
“Ia tentunya sukar tetapi kami perlu meneruskan kehidupan. Yen Jun masih ada seorang lagi anak yang perlu dijaga dan kesemua kami berada di sini untuk memberikan sokongan yang diperlukan mereka,” katanya.
Seorang lagi mangsa kes tembakan itu yang merupakan pasangan Tan, Toh Hock Choon, 50, disemadikan di jirat Cina Sungai Dua pada pagi Jumaat.
Pada Khamis, polis menembak mati suspek tunggal kes tembakan itu, Chung Chun Wah, 32, iaitu anak Saw Sim dan abang Wah Thong selepas insiden berbalas tembakan antara suspek dan polis berhampiran pasar Air Itam.
Jasad Chun Wah dibakar pada Jumaat dengan kakaknya Lee Ping memaafkan perbuatannya itu walaupun pada awalnya beliau mendapati dirinya sukar untuk memaafkan adiknya itu. – BERNAMA

0 comment... add one now