Encik Mimpi Tetap Bertopeng Ketika Berceramah

PETALING JAYA: Penyanyi Encik Mimpi mengembangkan langkah dalam kariernya apabila bergiat aktif memberi ceramah motivasi kepada penuntut universiti yang dianjurkan oleh syarikatnya, Encik Mimpi Production.

Encik Mimpi atau nama sebenarnya Mohd Azam Zamri, 28, berkata, dia menceburkan diri sebagai penceramah kerana ingin memberi inspirasi serta berkongsi pengalaman ketika melanjutkan pelajaran di Jepun dalam bidang Kejuteraan Elektrik sebelum ini.

"Saya sebenarnya baharu sahaja melancarkan program motivasi di beberapa buah universiti dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta.

"Motivasi yang ingin saya sampaikan lebih dalam bentuk santai selain berkongsi pengalaman ketika melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Jepun sebelum ini.

"Pengalaman yang ada Insya-Allah mungkin dapat membantu mereka terutamanya jika ada yang berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Encik Mimpi berkata, ketika memberi ceramah dia tetap mengenakan topeng bagi menutup wajahnya kerana itu adalah identitinya.

Katanya, walaupun ada yang mempersoalkan tindakannya itu namun dia mendapat sambutan baik daripada peserta malah mereka melihat ia sebagai satu kelainan.

"Apa yang paling penting saya dapat sampaikan maklumat dan keputusan mengenakan topeng itu dilihat sebagai satu kelebihan untuk peserta hadir ke program yang dianjurkan.

"Saya juga menyampaikan ceramah dalam bentuk santai dan masih menggunakan muzik sebagai salah satu medium dalam menyampaikan ilmu.

"Alhamdulillah kaedah berkenaan diterima baik dan rata-rata seronok ketika hadir ke program tersebut," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Encik Mimpi baharu sahaja menubuhkan sebuah kumpulan duo kanak-kanak iaitu AT-RI yang juga artis bawah labelnya, Encik Mimpi Productions.

Encik Mimpi berkata, dia memilih kanak-kanak kerana industri muzik tempatan masih belum ada kumpulan yang mengetengahkan bakat cilik yang bukan sahaja mampu menyanyi tetapi bermain alat muzik.

"Sebelum memperkenalkan kumpulan AT-RI saya terlebih dahulu buat kajian dan mendapati tiada kumpulan yang menampilkan kanak-kanak di pasaran.

"Saya fikir dengan strategi yang baik dan lagu bersesuaian ia mampu mendapat perhatian daripada pendengar.

"Sebab itu saya cari kanak-kanak yang boleh menyanyi dan bermain alat muzik bagi menampilkan kelainan," katanya.

Tambahnya, dia akan memperkenalkan dua berkumpulan itu dalam masa terdekat selain telah pun menyiapkan single pertama mereka.

0 comment... add one now