Rabu, 20 Julai 2016

'Doakan Saya, Suami Nak Ceraikan Saya Hari Ini...'

Dalam perjalanan Show Raya bersama Datuk Seri Najib, ada kemalangan berlaku di depan saya. Sebuah lori laju menghimpit lorong kiri secara tiba-tiba dan menyebabkan sebuah kancil yang dipandu oleh seorang wanita terbabas dan melanggar pembahagi jalan. 


Pemandu lori itu terus melarikan diri dan dikejar oleh beberapa penunggang motosikal. Saya berhenti di bahu jalan untuk menghulurkan pertolongan kepada wanita tersebut. 

Tayar belakangnya pecah, bahagian kiri kereta agak remuk tetapi enjin masih hidup. Saya lihat ada bayi di belakang, anak yang duduk di hadapan mengalami luka sedikit dan pemandu wanita tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Saya sudah lewat!! Gelisah melihat jam, takut tak sempat sampai ke Putrajaya. Tetapi saya tidak mampu melihat dia bersama anak-anaknya. Dia tiba-tiba meraung dan menjerit. Yang lain tidak membantu kerana mungkin masing-masing sedang sibuk mengejar masa ke tempat kerja. Saya pening! 

Perlahan-lahan saya cuba menenangkan dia. 

"Sabar kak, inshaAllah saya dan akan membantu," 

Saya tak dapat berbuat apa-apa melainkan menenangkan dia yang sudah terduduk di tepi kereta. 

"Ingat Allah, Allah, Allah sayangkan kita kak," itu sahaja yang mampu saya katakan.

Saya juga hampir menangis sekali dengannya. Saya cuba menahan mana-mana kereta yang lalu, namun kesemuanya tidak mahu berhenti. 

Akhirnya, saya terpaksa masuk ke dalam kereta menenangkan anaknya yang menangis dan bayinya mula merenggek. Saya duduk di depan dia.

"Kalau sayang anak-anak ini, kuatlah kak. Akak kena kuat, Allah ada, saya pun ada. Berhentilah menangis. Saya tak tahu nak buat apa dah ni," kata saya. 

Panjang lagi kalau nak cerita. Namun setelah saya berjaya menenangkan dia, saya tolong tukar tayar keretanya dan buatkan susu untuk anak dia. Mujur sebelum keluar, saya ada beli susu untuk alas perut. Saya masukkan susu kotak dalam botol anaknya. 

Selepas memastikan dia okay dan boleh teruskan perjalanan, barulah saya bertanya. 

"Akak nak ke mana?" 

Soalan saya menyebabkan dia menangis sekali lagi. 

"Takpe, takpe. Akak jalan dulu," 

Dan tiba-tiba dia berkata, " Doakan saya. Saya nak ke Jabatan Agama, suami nak ceraikan saya hari ini."

Saya terdiam, perlahan-lahan kereta itu berlalu pergi. 

Jadilah lelaki yang baik kerana hari ini dunia memerlukan lelaki yang baik. - Abu Hurairah Asifa 

Tiada ulasan:
Write ulasan