Ahad, 24 Julai 2016

Dengan Menyanyi Aiman Tino Dapat Hilang Rasa Malu

KETIKA kecil dulu, penyanyi remaja Aiman Tino mengakui kurang keyakinan untuk tampil di khalayak gara-gara malu menjadi tumpuan.



Jauh sekali untuk menyanyi kerana menurut anak muda berusia 18 tahun ini, dia lebih rela berjauh daripada bertentang mata dengan orang ramai. Bagaimanapun kini tidak lagi. Aiman yang semakin popular dengan lagu Ku Rela Dibenci ini semakin selesa ketika berada di tempat awam.

Malah Aiman memastikan setiap penampilan persembahannya memberi impak demi membuktikan kemampuan vokalnya. Memandangkan anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini masih terlalu hijau dalam persada nyanyian,

Aiman memastikan dirinya melipatgandakan usaha untuk lebih dikenali. Aiman atau nama sebenarnya Muhamad Aiman Yusri ini mahu membuktikan bakat yang dimilikinya itu bukan sekadar menyanyi semata-mata sebaliknya mampu menghayati lagu dengan baik.

 “Sifat pemalu saya ini sudah ada dalam diri. Semasa di Sekolah Rendah Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu lagi, masalah ini kerap kali membelenggu diri.

“Hingga ayah ( Yusri Ishak, 47) menggesa saya untuk menyanyi di Tapak Perniagaan Uptown Danau Kota, Kuala Lumpur ketika kami sekeluarga berjalan keliling ibu kota.

 “Ketika itu seluruh badan saya menggigil ketakutan. Berpeluh-peluh sebab kena menyanyi di khalayak buat pertama kalinya dalam hidup.

“Dan ‘azab’ ketakutan saya itu berakhir selepas lagu yang dinyanyikan, Bidadari (dendangan kumpulan Lela) selesai,” kata Aiman mengimbas cerita ketika berusia 12 tahun.

Kelebihan selepas menyanyikan lagu di pusat perniagaan itu juga menyebabkan Aiman semakin bersemangat untuk menceburi bidang nyanyian dengan lebih serius. Lebih-lebih lagi berkongsi minat yang sama dengan bapanya,

 Aiman berkata, dia bertuah kerana lelaki itu menyokong hasratnya itu.

“Sejak dari sekolah, saya antara pelajar yang aktif menyertai pertandingan nasyid dan nyanyian sekitar Selangor.

“Bagaimanapun saya tidak pernah menjadi juara. Rata-ratanya saya dapat nombor dua. “Tapi itu tidak bermakna saya berputus asa. Saya perlu berusaha dan menyakinkan orang ramai terhadap kemampuan saya,” katanya.

Lagu bapa Dalam pada itu, Aiman bersyukur kerana lagu Ku Rela Dibenci yang liriknya dicipta oleh bapanya itu berjaya menaikkan namanya. Tidak menyangka usaha bapanya itu membuahkan hasil Aiman berkata, dia sendiri pada mulanya tidak yakin dengan kemampuan dirinya membawakan lagu berentak balada itu.

Sementelah masih muda dan tidak pernah mengalami pengalaman dalam bercinta namun bagi Aiman itu bukan penghalang buatnya untuk menghayati bait-bait lagu. Merujuk lagu-lagu lama yang mengetengahkan genre hampir serupa,

Aiman meminjam ‘jiwa’ yang sama untuk memastikan penyampaian lagu Ku Rela Dibenci itu sampai di hati pendengar.

 “Sehingga ke hari ini saya sendiri tidak menyangka Ku Rela Dibenci mendapat tontonan lebih tiga juta di laman video YouTube selepas klip video rasmi lagu itu dimuat naik," katanya yang mengakui bertuah dapat menyanyikan lagu ciptaan Harry yang juga gitaris kumpulan Khalifah.

 Mengakui yang lirik lagu tersebut dicipta oleh bapanya secara suka-suka, kata Aiman lagi:

 “Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. Dalam tempoh tiga bulan, saya diterima baik oleh pendengar.

“Secara tidak langsung membangkitkan semangat saya untuk memberikan yang lebih baik buat single kedua nanti,” katanya yang turut merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik tahun depan.

 -

Tiada ulasan:
Write ulasan