Cemburu, Suami Kelar & Tikam Isteri Sampai Mati

JOHOR BAHRU - Seorang wanita berusia 21 tahun, maut ditikam dengan pisau pemotong sayur oleh suaminya sendiri, semalam, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam di sebuah hotel bajet di Taman Sentosa,  mangsa dipercayai bergelut dengan suaminya, berikutan banyak kesan luka di kedua-dua tapak tangan mangsa, kesan dari cuba mempertahankan diri. 



Gagal melawan kudrat lelaki itu, mangsa telah ditikam sebanyak dua kali di bahu kanan dan pipi kanan serta leher mangsa dikelar.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya telah menahan suspek berusia 21 tahun itu, yang hadir ke Balai Polis Sentral selepas kejadian itu.

"Suspek mengaku bertindak demikian akibat cemburu dan mengesyaki isterinya berlaku curang dengan mempunyai hubungan bersama lelaki lain di belakangnya," katanya. 

Siasatan mendapati, bekas tukang paip itu menganggur dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian urin yang dijalankan terhadapnya juga negatif. 

Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

0 comment... add one now