Ahad, 24 Julai 2016

Bayi 11 bulan mangsa difteria meninggal dunia

SUNGAI PETANI: Bayi berusia 11 bulan, Muhammad Rusyidi Rizky Amdin, yang sebelum ini kritikal akibat jangkitan difteria di Kuala Muda, di sini, meninggal dunia awal pagi tadi. Perkara itu disahkan ibu mangsa, Zalifah Hussin, 40, yang memaklumkan bayinya itu menghembuskan nafas
terakhir jam 2 pagi tadi, selepas disedari tidak bernafas di rumah mereka di Flet Paya Nahu, di sini.



"Seperti biasa saya akan bagi dia minum susu setiap jam 2 pagi, namun pagi tadi saya cuba mengejutkan arwah tetapi dia tidak memberi sebarang tindak balas dan disedari sudah tidak bernafas," katanya ketika ditemui di rumahnya sebentar tadi.

 Zalifah berkata, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kelihatan ceria selepas pulang dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Khamis lalu.

 "Selepas keluar dari hospital dia kelihatan ceria dapat berkumpul dengan adik-beradik yang lain dan selera makannua juga seperti biasa.

 "Saya tidak menyangka perkara ini berlaku kepada arwah kerana dia kelihatan sihat sahaja," katanya.

Katanya, selepas menyedari anaknya itu tidak lagi bernafas, dia terus menyuruh anak sulungnya, Muhammad Yusri, 21, membawa mangsa dan seorang lagi anaknya, Muhammad Taufiq Iskandar, 3, yang tidak sihat ke HSAH.

Sebelum ini enam sekeluarga dari Flet Paya Nahu disahkan dijangkiti difteria dengan seorang daripadanya, Muhammad Haris Haikal, 2, yang juga abang kepada Muhammad Rusyidi, meninggal dunia.


Tiada ulasan:
Write ulasan