Isnin, 25 Julai 2016

Bahayakah Mencampurkan Pemberian Susu Ibu Dengan Susu Formula Kepada Bayi?


Soalan

Sejauh mana kebenaran mencampur susu formula dan susu ibu membuatkan antibodi anak lemah seperti mudah demam dan lain-lain?

Jawapan

Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi, dan kebaikan penyusuan susu ibu terus berlanjutan melebihi pemakanan asas. Selain mengandungi vitamin dan nutrien yang bayi perlukan dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan, susu ibu mengandungi kandungan khasiat yang mampu melindungi bayi daripada penyakit.
Bahan tersebut melindungi bayi anda terhadap pelbagai penyakit dan jangkitan dan bukan ketika dia masih menyusu sahaja tetapi dalam sesetengah kes, sehingga anak sudah bercerai susu. Susu formula tidak boleh menawarkan perlindungan ini.

American Academy of Pediatricians dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) mengesyorkan penyusuan susu ibu eksklusif untuk enam bulan pertama usia bayi (walaupun mana-mana tempoh penyusuan susu ibu adalah berfaedah).

Penyusuan eksklusif (bermakna tanpa pengambilan makanan pejal, susu formula atau air) sekurang-kurangnya enam bulan menawarkan perlindungan yang terbaik. Ia menghalang alahan dan melindungi daripada beberapa keadaan kronik.

Walaupun pakar mempercayai susu ibu  adalah pilihan pemakanan yang terbaik untuk bayi, penyusuan susu ibu mungkin tidak mampu dilakukan oleh semua ibu. Bagi kebanyakan ibu, keputusan untuk menyusukan anak atau member susu formula adalah berdasarkan tahap keselesaan, gaya hidup dan keadaan perubatan tertentu.
Walau bagaimanapun, tiada bukti atau kajian menunjukkan dengan mencampurkan penyusuan (susu ibu dan susu formula) boleh mengurangkan imuniti kepada bayi.


Soalan berikut dijawab oleh Dr Shariza Lukman, Pakar Perunding Pediatrik (BSC MEDICAL SCIENCE (SCOTLAND), MBCHB (UK), MRCPCH (UK), MSC CHILD HEALTH (UK), Pantai Hospital Klang.

Tiada ulasan:
Write ulasan