Khamis, 28 Julai 2016

Azura Zainal Belum Sedia Ada Anak

PETALING JAYA: Pengacara dan pelakon Azura Zainal memberitahu dia masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata biarpun sudah hampir dua tahun mendirikan rumah tangga.

Azura, 35, mengakui masih belum puas untuk melakukan aktiviti lasak dan meneruskan kerjayanya sebagai pengacara program travelog.



"Saya belum bersedia untuk ada anak lagi kerana saya sayangkan kerjaya dan suka dengan aktiviti lasak. Jika sudah ada anak saya perlu bahagikan perhatian saya kepada anak-anak pula.

"Sekarang belum puas lagi, banyak benda yang saya rasa belum lakukan lagi. Insya-Allah saya bagi tempoh setahun sahaja lagi lepas itu baru saya fikir tentang anak," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, dia bersyukur keluarga kedua-dua belah pihak tidak pernah memberikan tekanan kepadanya supaya mendapatkan anak dengan segera.

Azura ditemui pada majlis tayangan filem Temuan Takdir di Mid Valley pada Selasa.

Azura berkahwin dengan lelaki berasal dari Brazil Cristiano Genuino Da Silva pada 28 Disember 2013.

Azura berkata, dia juga baharu melangkah ke satu tahap dalam kerjaya seninya dengan membabitkan diri dalam dunia lakonan filem menerusi filem Temuan Takdir.

Katanya, peluang untuk berlakon filem ini datang selepas 17 tahun berada dalam industri sebagai pengacara dan penyampai radio.

"Selepas 17 tahun sebagai pengacara dan penyampai radio, barulah saya dapat peluang ini. Mungkin kerana saya juga tidak mencari kerana tidak ada masa untuk pergi ujibakat.

"Saya anggap ia salah satu impian yang sudah menjadi kenyataan dalam kerjaya saya. Kalau boleh lepas ini saya ingin meneruskan penglibatan dalam bidang lakonan jika diterima," ujarnya.

Sementara itu, Azura berkata, dia menganggap pembabitannya dalam filem ini adalah salah satu platfom untuk dia belajar berlakon.

Katanya, salah satu cabaran ialah, melakonkan babak menunggang motosikal sambil berdialog.

"Saya tidak ada pengalaman dalam bidang lakonan, jadi semuanya baru dan cabaran bagi saya. Salah satu yang saya rasa agak susah ialah adegan menunggang motosikal sambil berdialog, ia bukan mudah.

"Selain itu, babak romantik bersama pelakon gandingan saya juga salah satu perkara yang sukar dilakonkan," ujarnya.

Filem Temuan Takdir bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 11 Ogos depan.

Tiada ulasan:
Write ulasan