Amyza Aznan Ingin Tingkatkan Populariti

PETALING JAYA: Pelakon Amyza Aznan mengakui antara faktor dia menyertai program Super Spontan Superstar kerana ingin meningkatkan kembali popularitinya dalam bidang seni.



Amyza berkata, persaingan daripada lambakan artis baharu membuatkan dia perlu memasang strategi dan melihat program berkenaan sebagai platform terbaik.

"Saya bukannya takut dengan persaingan baharu kerana itu adalah kitaran biasa dalam bidang seni tetapi sebagai generasi lama dalam industri saya perlu pasang strategi untuk kekalkan nama.

"Menerusi Super Spontan Superstar saya lihat ia platform terbaik untuk meningkatkan kembali populariti kerana ia sebuah rancangan yang diminati ramai.

"Ini adalah salah satu faktor saya bersetuju untuk menyertai pertandingan tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun kata Amyza, itu bukan bererti dia perlu memandang ringan terhadap tanggungjawab dan cabaran yang bakal digalas menerusi pertandingan itu nanti.

Sebaliknya, sebagai peserta dia ingin melakukan terbaik memandangkan tidak ramai artis wanita berani untuk mencuba menyertai Super Spontan Superstar.

"Empat musim terdahulu saya memang menonton tetapi jujurnya saya kurang faham tentang konsep dan permainan dalam Super Spontan Superstar.

"Apabila semua peserta dikumpulkan dalam boootcamp baru-baru ini baharulah saya faham dan sedar ini bukan sebuah pertandingan biasa.

"Pemikiran kena tajam dalam memikirkan idea-idea dalam masa singkat selain memerlukan tumpuan dalam setiap permainan," katanya.

Super Spontan Superstar bakal bersiaran bermula 5 Ogos depan di saluran Astro Warna 132 dan Mustika HD 134 pada setiap hari Jumaat, 9 malam.

Ia turut bersiaran secara langsung setiap minggu di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dekat sini.

0 comment... add one now