Aduhai Bank Islam: Jagalah Janjimu!

Imej Bank Islam sejak ditubuhkan tidaklah begitu mempesonakan. Walaupun wujud atas semangat Islam, tetapi operasinya tidak berjaya membina imej yang diharapkan.

Aduhai Bank Islam: Jagalah Janjimu!

Krisis imej Bank Islam bermula dengan kegagalan menyediakan tawaran pakej pinjaman menarik ketika awal kewujudannya. Hingga terpaksa menggunakan retorik hukum Islam untuk mendapatkan pelanggan.

Malah, rakyat tidak lupa isu RM700 juta kerugian Bank Islam pada tahun 2005. Google saja – kenyataan PM mengarahkan tindakan segera berada di laman paling atas merujuk pada isu tersebut.

Sejak itu, kecederaan imej Bank Islam kekal dalam ingatan pengguna.

Sebagai pelanggan, saya sudah lama melupakan Bank Islam. Namun, pada Disember 2015, panggilan telefon Agen Bank Islam menawarkan pakej pembiayaan semula perumahan mengerakkan minat untuk bertemu dan mendengar sendiri mengenai pakej tersebut.

Hujung Disember 2015 – berlaku pertemuan. Ia amat mempesonakan dan saya bersetuju. Secara lisan saya dimaklumkan, semua urusan akan selesai dalam dua bulan.

Akhir Januari, peguam yang dilantik Bank Islam menemui saya. Agak terperanjat kerana saya dimaklumkan pinjaman diproses cawangan Bank Islam di Perak walaupun agen jualannya di Damansara KL.

Peguam menguruskan proses. Perjanjian ditandatangani.

Dan bencana pun bermula!

Agak mengelirukan juga, kerana agen yang menawarkan pinjaman wakil cawangan Damansara. Cawangan yang menguruskan pinjaman di Perak. Peguam pun dari Perak. Tetapi ini bukan isu utama.

Isu utama selepas 7 bulan borang diisi, urusan belum selesai. Lebih pening, saya bingung siapa yang bertanggungjawab menguruskan pinjaman saya. Agen jualan menganggap selepas persetujuan ditandatangani, ini isu peguam untuk selesaikan. Peguam pula berkata: “Mustahil semuanya dalam dua bulan!”

Ding Dong Ding Dong! Sudah 7 bulan. Baharulah saya diberi akses menghubungi Pengurus Cawangan tempat pinjaman diproses. Pengurus Cawangan pula berkata:”Mustahil dua bulan. Tapi SOP antara empat ke enam bulan.”

Wah! Berbeza maklumat antara Agen Jualan dan Pengurus Cawangan. Tak apalah. Seorang kata dua bulan, peguam janji empat bulan dan sekarang Pegurus Cawangan maklumkan enam bulan.

Masalahnya dan 7 bulan!

Malah janji mutakhir Pengurus Cawangan semuanya dijangka selesai minggu pertama Ogos ini menjadikan tempohnya hampir lapan bulan.

Saya fikir, isu utama ialah sikap kebertangungjawapan dalam melaksanakan janji. Orang gemar menabur janji terutama untuk menjerat pelanggan. Sesuatu yang saya anjurkan tidak sewajarnya berlaku.

Anjuran janji dalam Islam bukan untuk setakat mendapatkan jualan. Apa lagi untuk menjerat komitmen pelanggan menandatangani perjanjian. Dalam Islam janji ialah akad. Justeru, kedudukannya sangat tinggi dalam syarak.

Banyak alasan diberikan sepanjang krisis tujuh bulan urus niaga ini. Paling klise ialah menyalahkan bank pemegang pinjaman asal. Anehnya, bank yang dijadikan alasan tersebut ialah Bank kedua terbesar operasinya. Bank yang bayang-bayangnya pun tidak mampu ditandingi Bank Islam.

Budaya enggan membaiki kelemahan operasi dalaman, punca utama krisis ini berpanjangan Budaya lepas tangan dan menyalahkan orang lain, sagat mengejutkan. Ini skeptism yang langsung tidak Islamik dalam urusan ini.

Saya mulakan dengan keluh-kesah rencana untuk siaran akhbar dan portal berita. Tetapi ini tidak akan mengubah keadaan sekiranya Bank Islam kekal dengan sifat enggan membaiki operasi dalaman dan kualiti intergiti perkhidmatan.

Keluh-kesah tidak penting pada Bank Islam. Selepas artikel ini, saya mahu mengadakan Sidang Media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Sekali pun bagi Bank Islam, saya jangka semua ini bukan masalah.

Saya maklumkan pada Agen Jualan mengenai niat mendahkan kes: Jawapannya mudah: “Buatlah… kalau ini dapat menyelesaikan masalah!”

Bagi Agen Jualan; seolah-olah tiada apa yang berlaku. Seolah-olah saya hanyalah seorang pelanggan yang tidak arif mencari jalan penyelesaian.

Selama tujuh bulan pelbagai komunikasi telah dibuat. Saya menggunakan Whatapps dalam banyak urusan dan menyimpannya secara kebetulan.

Justeru saya mempunyai rekod kukuh dalam isu untuk membuktikan pada tempoh tujuh bulan, pelbagai cara sudah diusahakan.

Bayangkan! Tiada sedikit pun langkah proaktif dibuat sekali pun saya menyatakan: Aduan akan dibuat pada media massa dan PPIM!

Akhirnya, saya memilih untuk berkongsi dengan rakyat Malaysia apabila hak individu sebagai pengguna diperlekehkan. Rakyat Malaysia sebagai pemilik awam melalui saham Kerajaan dalam Bank Islam, berhak tahu apa yang dialami pelanggan ketika berurusan dengan Bank Islam.

Kerana perkongsian begini akan buat kita belajar melakukan perubahan. Kalau Bank Islam tidak berubah, rasanya kitalah yang berhak mengubahnya!

ZAINAL RASHID AHMAD
Bandar Sri Permaisuri
Cheras KL

0 comment... add one now