5 Beranak Curi Barang Kosmetik Sempat Beraya

KOTA TINGGI - Lima beranak yang dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun minggu lalu kerana mencuri barangan kosmetik berpeluang beraya bersama keluarga selepas mahkamah majistret di sini, semalam membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman.

Majistret Mazana Sinin membuat keputusan itu bagi membolehkan peguam yang dilantik keluarga semua wanita itu memfailkan rayuan pengurangan hukuman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam masa terdekat.

Mazana turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan penjamin berasingan.

Pada 21 Jun lalu, kelima-lima wanita itu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah majistret selepas mereka mengaku bersalah mencuri 17 produk kesihatan dan kecantikan yang semuanya bernilai RM2,171.50.

Rohaya A. Rahman, 57, dan anak-anaknya, Noriza Che Abdullah, 30, Maimunah 26, Nurul Fatihah, 19, serta menantu, Zariah Zakariya, 37, didakwa secara bersama-sama melakukan perbuatan tersebut di kedai Produk Kesihatan dan Kecantikan Sri Tanjung, Jalan Anggerik 4/1, Taman Anggerik, Bandar Tenggara pada jam 11.40 pagi, 17 Jun lalu.

Semua mereka yang memiliki antara seorang hingga sembilan anak termasuk Nurul Fatihah yang sedang mengandung enam bulan diperintah menjalani hukuman itu berkuat kuasa tarikh tangkapan pada 19 Jun lalu.

Dalam pada itu, suami Noriza, Riduan Zakaria, 30, ketika ditemui di luar mahkamah akui lega selepas mahkamah membenarkan penangguhan tersebut.

Dia turut gembira dengan keputusan itu kerana dapat menyambut Aidilfitri tidak lama lagi bersama isterinya.

Sementara itu, Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Mazlina Abu Bakar berkata, beliau kesal kerana ada pihak yang menekan keluarga tertuduh.

Katanya, orang ramai juga diharap tidak salah faham, apa yang dilakukan PPIM itu bukan menyokong tertuduh melakukan aktiviti mencuri.

“Sebaliknya PPIM berasakan hukuman yang dijatuhkan agak berat dan ia bukan cara untuk mendidik mereka lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita.

“Masyarakat kita amat sakit, orang yang bermasalah kita tekan lagi dengan masalah demi keuntungan sendiri. Ada pihak yang perlu ambil prihatin tentang perkara seperti ini. Kalau hendak membentuk masyarakat kita, kena banyak pihak memainkan peranan,” katanya.

0 comment... add one now