Jumaat, 17 Jun 2016

Zahid: Beku Pekerja Asing Akibatkan Rugi RM24 Bilion

KUALA LUMPUR: Pembekuan pengambilan pekerja asing sejak pertengahan Februari lalu mengakibatkan perniagaan kerugian kira-kira RM24 bilion, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri mengakui bahawa pembekuan yang berterusan bukan sahaja akan menjejaskan perniagaan di beberapa sektor tetapi juga pendapatan kerajaan.

"Memang benar kekurangan buruh asing di beberapa sektor kerana pembekuan itu telah mengakibatkan kerugian.

"Sebagai contoh, dalam sektor perladangan, kekurangan pekerja asing menyebabkan kerugian RM2 bilion kerana buah-buahan tidak dituai," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Kadzim M. Yahya di Dewan Negara pada Khamis.

Zahid berkata, kekurangan pekerja asing mengakibatkan implikasi ekonomi yang buruk sehinga menyebabkan kerugian RM24 bilion dalam transaksi perniagaan.

"Ini menyebabkan kerajaan kurang mendapat hasil daripada cukai," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan