Yana Samsudin Kesal Jenama Tudungnya Diciplak

PETALING JAYA: Pelakon Yana Samsudin mula menyedari terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menciplak tudung jenamanya Ayana bagi meraih keuntungan dengan jalan mudah.

Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 32, berkata, perkara itu masih dalam pemantauan pihaknya dan dia tidak teragak-agak untuk mnegambil tindakan sekiranya perkara negatif itu semakin berterusan.

"Saya sudah mengesan terdapat tudung jenama Ayana yang diciplak dan dijual kepada orang ramai. Walaupun masih belum berleluasa, namun saya bimbang perkara tersebut memberi kesan kepada peniagaan saya.

"Setakat ini kami masih memantau dahulu, jika ia berterusan dan berleluasa, saya akan ambil tindakan undang-undang," ujarnya kepada mStar Online.

Yana berkata demikian ketika diminta mengulas tentang rungutan salah seorang individu terhadap tudung jenama tersebut dikatakan tidak bermutu dan sukar untuk dipakai.

Jelas Yana, dia tidak mahu penjualan tudung ciplak yang tidak berkualiti akan menjejaskan persepsi pembeli kepada tudung keluarannya.

"Saya menjaga kualiti tudung dengan teliti dan saya sendiri pastikan hasilnya sebelum dijual kepada pelanggan, jadi tidak ada masalah tentang kualiti," ujarnya.

Sementara itu ditanya, tentang terdapat individu yang meluahkan rasa marah dan tidak berpuas hati dengan tudung jenamanya di laman sosial, Yana berkata perkara tersebut sebagai lumrah perniagaan.

Katanya, dia tidak cepat melenting dan menerima setiap teguran dengan positif.

"Ada individu yang tulis komen negatif tentang tudung saya di laman sosial Facebook saya. Saya jawab dengan berhemah dan tidak melenting biarpun kata-katanya agak kesat.

"Saya tahu jika benar dia ingin komen tentang tudung saya tentu dia guna akaun profil yang sebenar. Ini tidak, dia sengaja buat akaun palsu," ujarnya.

Tambah Yana, dia sudah bersedia dengan pelbagai cabaran dan dugaan sebelum menceburi bidang peniagaan ini.

Selain itu, Yana yang kini sudah mempunyai sebuah butik Ayana Store di Shah Alam mengakui sibuk dengan produksi tudung dan jubah di bawah jenamanya.

"Perniagaan tudung ini adalah hasil duit modal saya sendiri, jadi saya perlu pastikan perniagaan ini berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, sudah hampir setahun dan orang semakin menerima jenama Ayana sebagai salah satu koleksi tudung mereka," ujarnya.

0 comment... add one now