Wanita Pengemis Menangis, Mohon Di Lepaskan

KLANG - Seorang pengemis wanita yang membawa anak lelaki berusia empat tahun menangis sambil merayu-rayu meminta dilepaskan dalam operasi bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa jabatan lain di CIMB Jalan Kapar, lewat petang, kelmarin.

Wanita tempatan berusia 31 tahun itu minta dilepaskan dan mengaku terpaksa bertindak demikian kerana suaminya enggan bekerja dan saban hari mengambil minuman keras.

Katanya, dia terpaksa mengemis demi mengalas perutnya dan anak lantaran tiada pekerjaan.

Pegawai JKM Klang, S Poovaneswaran berkata, wanita itu akhirnya dilepaskan atas alasan yang munasabah.
Wanita menangis minta dilepaskan
“Dia diberi amaran keras agar tidak bertindak sedemikian lagi.

“Suaminya turut diberikan amaran selain dinasihatkan mencari pekerjaan demi menanggung kos sara hidup dirinya dan keluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Menurutnya, operasi mengesan dan menangkap pengemis kali ini dilakukan dengan kerjasama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Kesihatan Daerah dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Operasi hari ini (semalam) melibatkan lapan tempat iaitu Pelabuhan Klang, Maybank Jalan Tapah, Cimb Jalan Kapar, Centrepoint Klang, Bandar Sultan Sulaiman, Gazebo Jalan Tengku Kelana, Hadapan Hospital Assunta, Bazar Andalas Simpang Empat dan pasar malam Gold Coast.

“Berdasarkan operasi kali ini, kita gagal mengesan pengemis dan tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, ini kemungkinan hasil keberkesanan kempen pencegahan yang dilakukan JKM sebelum ini.

“Pada operasi ini juga, kita turut mengagihkan risalah kepada umum berkenaan kempen cegah aktiviti pengemis ini.

“Operasi seumpama ini akan dilakukan secara berterusan bagi mengekang aktiviti ini,” katanya.

Operasi yang bermula jam 5.30 petang di bazar Ramadan Jalan Taiping dan pasar malam Jalan Gudang Nenas akhirnya tamat sekitar jam 8 malam.

0 comment... add one now