Sabtu, 25 Jun 2016

Wanita ketakutan diganggu ah long, Suami Gagal Bayar

PUCHONG – Hidup seorang wanita kini diselubungi ketakutan apabila sindiket peminjam wang tidak berlesen atau ah long terus mengancam dan membuat ugutan terhadap dirinya selepas suaminya dikatakan gagal membayar hutang pinjaman.

Geng terbabit dikatakan mengugut tidak akan melepaskannya dan sentiasa memburunya ke mana sahaja dia berpindah.

Mangsa, Phang Ai Yun,32, berkata, dia kini bimbang keselamatan anak perempuannya berusia dua tahun serta ibunya yang tinggal bersamanya di sebuah pangsapuri di Puchong Jaya, di sini.

Ai Yun berkata, geng ah long terbabit mula mengganggunya Mei tahun lalu dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan.

Dalam SMS itu, geng ah long mengugut akan menyimbah cat di rumah didudukinya dan tidak teragak-agak mengambil tindakan di luar dugaan.

Katanya, dia tidak tahu- menahu berhubung pinjaman dibuat suaminya selepas tinggal berasingan sejak dua tahun lalu.

Kerani itu berkata, dia juga dalam proses untuk bercerai dengan suaminya yang sudah lama menghilangkan diri.

“Saya tak tahu suami ada pinjam duit ah long, tiba-tiba saja dapat SMS ugutan daripada seorang lelaki menggelar dirinya Mr Black kata nak simbah cat kat rumah mak saya jika tak dapat bayar wang,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, sindiket terbabit katanya turut menghantar orang menyamar sebagai pegawai bank ke rumah ibunya dan mengatakan rumah bakal dilelong dan perlu dikosongkan.

Katanya, dia pelik kerana rumah milik ibunya itu tiada tunggakan bank dan pinjaman perumahan sudah lama dilunaskan.Wanita ketakutan diganggu ah long

“Bila saya hubungi bank, pihak itu kata mereka tak pernah hantar orang untuk kutip tunggakan, jadi saya syak individu yang datang Rabu lalu juga adalah daripada sindiket ah long,” katanya yang tinggal bersama ibunya sejak berpisah dengan suami.

Disebabkan bimbang keselamatan diri dan keluarga, Ai Yun berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Jaya, 20 Jun lalu.

Sementara itu, Biro Aduan JPP Zon 14 Lieng Hwa Ching berkata, dia kesal dengan tindakan sindiket ah long yang menjadikan ibu seorang anak itu sebagai sasaran.

Katanya, pihak syarikat pemberi pinjam wang sepatutnya memburu peminjam wang bukan melibatkan mereka yang tiada kena-mengena dengan perkara itu.

“Kasihan mangsa yang sering dihantui rasa takut dengan ancaman dibuat ahlong itu,” katanya.

Setiausaha Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14, Lawrence Chiew Kai Heng pula menggesa suami mangsa keluar dari tempat persembunyian untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, suami mangsa tidak bertanggungjawab membiarkan isteri dan anak menanggung kesusahan.

“Kepada suami mangsa dikenali sebagai Ong Kim Chui, 37, tolonglah jangan bersembunyi lagi…selesaikanlah masalah ah long dan juga kes penceraian yang sudah tertunda beberapa kali.

“Geng ah long pula saya minta guna cara yang sah untuk kutip hutang, lain kali siasat dulu latar belakang peminjam sama ada mereka mampu bayar atau tak jangan akhirnya menyusahkan orang lain,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan