Selasa, 14 Jun 2016

Wanita Ini Luaha Rasa Bila Suami Hilang Teruna

Kerapkali kita dengar 'confession' daripada seseorang yang pernah melakukan zina dan perasaan mereka tentang stigma masyarakat terhadap perbuatan tersebut. Tetapi pernah kalian terfikir tak kesannya terhadap orang yang tersayang? Perasaan mereka apabila buat pertama kalinya mendengar confession daripada bekas pelaku zina yang 'mungkin' bakal hidup selama-lamanya dengan mereka? Telah lama saya pendamkan perasaan ini dan sorokkan perasaan ini seorang diri.

Saya telah bertunang. Beberapa hari sebelum bertunang, tunang saya pernah ‘confess’ kepada saya yang dia bukan lagi seorang teruna kerana dia pernah terlanjur beberapa kali dengan bekas kekasihnya suatu masa dahulu. Namun, hubungan mereka putus kerana asyik kerap bertengkar. Sejak dari itu tunang saya sering murung dan katanya hidupnya selepas itu sangat kusut. Tidak pernah tenang kerana perasaan bersalah membelenggu dirinya. Dia telahpun bertaubat kerana kesal dengan dosa besar yang telah dia lakukan.

Apabila saya diberitahu tentang perbuatan zina yang pernah tunang saya lakukan dahulu, saya berasa sedih yang amat sangat, memang saya tak pernah rasa sesedih ini dan saya keliru dengan perasaan sendiri, keliru sama ada saya masih mahu teruskan dengan pertunangan ini (akhirnya pertunangan berlangsung juga) dan perkahwinan kami walaupun dalam hati saya 'mungkin' masih ada lagi perasaan sayang pada dia. Tidak pernah terdetik langsung bahawa 'bakal suami' saya adalah seorang yang pernah melakukan dosa yang amat besar pada masa lampau. Saya tidak berniat untuk menjadi seorang yang ‘judgmental’ tetapi untuk menerima hakikat ini amatlah sukar bagi saya juga, bukan hanya dia.

Memang betul aib kita tidak patut diceritakan pada orang lain kerana telah menjadi lumrah manusia bahawa orang itu akan melihat diri kita dengan cara yang sangat berbeza selepas itu. Cuma orang tidak kata depan-depan, hanya disimpan di dalam hati. Mungkin ada yang cuba berusaha bersikap husnuzon terhadap orang itu. Tetapi amatlah penat untuk saya sentiasa 'convince' diri sendiri setiap hari selama berbulan-bulan (mungkin bertahun-tahun atau selamanya) sebegitu. Sesungguhnya saya hanyalah hamba Allah yang sangat lemah.

Setiap hari saya akan terfikir tentang kesilapan lampau tunang saya dan kadangkala saya terbayangkan lalu menjadi sangat sedih dan keliru. Astaghfirullah. Memang sukar untuk saya lupakan walaupun saya berusaha. Siapa yang mahu hidup tidak tenang sebegini. Saya sentiasa terfikir adakah tunang saya akan membanding-bandingkan saya dengan bekas kekasihnya selepas berkahwin nanti? Adakah tunang saya lebih menyayangi bekas kekasihnya kerana bekas kekasihnya adalah cinta pertamanya? Adakah cintanya terhadap saya tidak dapat menandingi cintanya terhadap bekas kekasih cinta pertamanya kerana hubungan mereka yang lebih mendalam dan lebih 'advanced'? Tunang saya dahulu pernah berbincang untuk berkahwin dengan bekas kekasihnya dek kerana telah terlanjur. Dia beri sebab bahawa dia terlanjur kerana tewas pada turutan nafsunya dan dia sentiasa ingin keluar dari kemaksiatan tersebut namun kerapkali gagal. Kadangkala saya ragu-ragu untuk percaya, kadangkala saya anggap syaitan bermain-main dengan fikiran saya.

Ya, memang tunang saya telah bertaubat, dan saya tahu kini tunang saya sentiasa menjaga solat 5 waktunya. Itu benda yang bagus, bukan? Saya cuba untuk menerima kisah silamnya yang gelap itu dan cuba untuk tidak menjadi ‘judgmental’, tetapi ia bukanlah suatu perkara yang mudah lebih-lebih lagi apabila ia bakal menjadi sebahagian daripada hidup saya yang turut menghantui hidup saya selama-lamanya. Kadangkala, saya terfikir adakah tunang saya benar-benar telah bertaubat? Itu urusan antara dia dan Allah tetapi saya tidak mahu ia menjadi sebahagian daripada hidup saya jika dia bertaubat ala kadar dan hanya setakat itu sahaja. Saya tidak mahu kesilapan lampaunya memberi kesan pada dirinya, saya mahupun bakal anak-anak cucu kami dek kerana kifarah dosa. Adakah saya boleh bahagia hidup dengan dirinya? Saya tahu saya masih boleh putuskan pertunangan ini dan cipta alasan kepada keluarga untuk putuskannya.

Saya cuba untuk cermin diri saya sendiri dan kekurangan diri saya sebagai salah satu ‘attempt’ untuk menerima kesilapan lampaunya. Siapalah saya nak menilai atau menghukum seseorang. Saya pun ada kekurangan diri, bukanlah seorang yang mulia. Mungkin ujian ini Allah turunkan kepada saya supaya saya bermuhasabah diri dan saya sedar bahawa hanya kepada Allah sahaja saya boleh berharap, Allah sahaja yang mampu memberi pertolongan untuk buang perasaan sedih dan gelisah ini, dan Allah sentiasa ada dekat dengan diri saya. Saya tidak boleh mengadu tentang perkara dan perasaan ini pada sesiapapun kecuali Allah. Saya sedar kerana perkara ini jugalah saya semakin dekat kepadaNya berbanding sebelum ini. Tidak putus-putus saya berdoa kepada Allah memohon keampunan atas dosa saya dan juga tunang saya dan supaya kami didekatkan kepada Allah dan supaya kami menjadi hambaNya yang soleh. Oleh sebab keliru, saya buat solat Istikharah dan berdoa untuk mendapatkan petunjuk dari Allah tetapi masih belum mendapat sebarang petunjuk. Mungkin Allah ingin menguji saya untuk lebih banyak bersabar, untuk saya sentiasa dekatkan diri kepadaNya, dan untuk percaya kepada takdir yang telah Dia tentukan untuk saya.

Saya cuba untuk tidak ceritakan kesedihan saya kepada tunang saya atas sebab ingin menjaga hatinya dan penghijrahannya. Saya hanya boleh berikan dirinya sokongan dan dorongan sahaja. Penghijrahan bukanlah perkara yang mudah. Untuk mencari seseorang yang boleh menerima kesilapan masa lampau bukanlah perkara yang mudah juga. Untuk membuat pengakuan sebegitu kepada saya juga bukanlah suatu perkara yang mudah.

Tetapi hati saya masih tidak dapat menerima kisah silamnya yang gelap itu walaupun beberapa bulan telah berlalu sejak dia buat ‘confession’ tersebut kepada saya. Kesilapan lampaunya akan sentiasa menghantui saya dan saya tidak segembira dan setenang dahulu. Tunang saya tidak tahu tentang perasaan saya ini tapi itulah pengorbanan yang saya lakukan. Sekiranya ditakdirkan dia jodohku, semoga Allah mempermudahkan segalanya, memberi kebahagiaan kepada kami berdua dan supaya jodoh itu berkekalan. Sekiranya dia bukan jodohku, saya tetap akan mendoakan dirinya agar diampunkan dosa-dosanya dan dosa lampaunya. InsyaAllah.

– Marleeza

Tiada ulasan:
Write ulasan