Selasa, 28 Jun 2016

Ustaz Tampar Anak Tanpa Sebab

KULIM - Seorang pelajar sebuah sekolah agama di sini, mendakwa ditampar seorang ustaz beberapa kali ketika berada di dalam kelas pada 19 Jun lalu.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, Mohamad Hizba Mohd Yusof, 15, berkata, dia dan  rakannya yang lain sedang mengikuti kelas subjek Tafsir al-Quran.

Menurutnya, ketika kejadian, ustaz berkenaan sedang menulis di papan hitam dan dia bangun untuk meminjam pen daripada rakannya.

“Tiba-tiba ustaz datang hampiri saya dan suruh saya baca apa yang ditulisnya.
Pelajar dakwa ditampar ustaz
“Masa tu untuk kepastian, saya tanya semula ustaz,  adakah saya yang kena baca? Ustaz tak jawab tapi tiba-tiba dia menampar saya," katanya.

Katanya, selepas ditampar, ustaz berkenaan menarik lengannya untuk dibawa ke bilik guru.

“Saya ditarik keluar kelas, dia kata nak bawa saya ke bilik guru jumpa pengetua. Tapi lepas saya tanya apa salah saya, ustaz tampar saya lagi," katanya yang mendakwa telinganya berdesing selepas ditampar beberapa kali.

Katanya, sebelum dipanggil ke bilik guru, ustaz berkenaan meminta maaf dengannya dan mengakui bertindak demikian kerana ada masalah dengan kelas sebelah.

"Selepas ustaz ke bilik guru, saya dipanggil ke sana untuk memberikan penjelasan kepada seorang guru kanan.

“Saya cuba jelaskan semuanya tapi mereka tak percaya," katanya.

Sementara itu, bapa saudaranya, Mohd Razali Md Yatim, 51, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada pihak sekolah jam 9.30 pagi.

"Masa jumpa pengetua, beliau beritahu Hizba melawan guru dan keluarkan kata kesat, termasuk beberapa kesalahan sebelum ini.

“Pengetua juga minta saya bawa Hizba pulang untuk ditenangkan dan datang semula selepas raya.

"Masa tu, pengetua juga ada maklumkan Hizba akan diberhentikan sekolah kerana kesalahan tersebut,” katanya.

Katanya, tindakan memberhentikan sekolah itu dilakukan tanpa mengikut prosedur kerana surat pemberitahuan atau amaran awal tidak dihantar kepada waris sebelum tindakan tersebut diambil.

Dalam pada itu bapa Hizba, Mohd Yusof Md Yatim, 54, berkata, dia sudah membuat rayuan kepada pihak sekolah untuk menangguhkan tindakan itu memandangkan anaknya akan menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), namun ditolak.

"Anak saya juga sudah membuat laporan polis,” katanya yang akan mengambil tindakan undang-undang

Tiada ulasan:
Write ulasan