Selasa, 21 Jun 2016

Tinggal bayi dengan nota, duit RM15

JERANTUT - "Tolong anak ini dijaga bapanya mati saye Nuer Aini" begitulah yang tertulis dalam sekeping nota yang ditinggalkan bersama seorang bayi yang ditemui seorang pekerja ladang di tepi jalan Sungai Lekok, Lata Meraung, di sini, malam kelmarin.

Nota terbabit dipercayai ditulis atas sekeping cebisan kotak di mana turut ditinggalkan bersama bayi terbabit ialah sekeping keratan gambar seorang lelaki bersama sejumlah wang bernilai RM15.
Tinggal bayi dengan nota, duit RM15
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azid Ismail berkata, sekitar jam 8 malam kelmarin, pekerja ladang terbabit dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya sebelum dikatakan berhenti di tepi jalan kerana terdengar bunyi tangisan bayi.

Katanya, pekerja ladang tersebut kemudiannya mencari asal bunyi tangisan tersebut dan menemui sebungkus kain di tepi jalan berhampiran sebuah ladang sawit.

Tambahnya, setelah meneliti bungkusan terbabit, pekerja ladang tersebut mendapati seorang bayi berada dalam bungkusan itu bersama sekeping nota, keratan gambar dan wang tunai.

‎"Pekerja ladang itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk membawa bayi tersebut pulang ke rumah dan menjaga untuk sementara waktu.

"Namun sekitar jam 4 petang semalam, pekerja ladang itu hadir ke Balai Polis Jerantut untuk membuat aduan berkaitan bayi terbabit dan menyerahkan bayi tersebut kepada pihak polis," katanya.

‎Pihak polis kemudiannya bergegas ke lokasi bayi terbabit ditemui untuk menjalankan siasatan dan mendapati kawasan sekeliling adalah kawasan hutan dan kelapa sawit.

‎"Hasil pemeriksaan doktor mendapati bayi terbabit adalah seorang bayi perempuan, dalam keadaan matang‎ dan berumur kurang dari sebulan.

"Terdapat kesan calar di bahagian dada bayi terbabit dipercayai berpunca dari goresan kuku bayi itu sendiri," katanya.

Azid berkata‎, bayi itu akan ditahan di Hospital Jerantut untuk pemeriksaan lanjut manakala pihak ‎Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan mengenai penemuan bayi berkenaan.

‎Katanya lagi, keratan gambar yang terdapat bersama bayi yang ditemui itu dipercayai bapa kepada bayi tersebut dan gambar tersebut akan diserahkan kepada pihak terbabit untuk siasatan lanjut.

Beliau dalam pada itu turut meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan bayi terbabit untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:
Write ulasan