Selasa, 21 Jun 2016

Selepas Isu Gaji, Syarikat Penerbangan Didakwa Tak Carum KWSP

PETALING JAYA: Selepas didakwa gagal membayar gaji kira-kira 300 pekerja, kini kakitangan syarikat penerbangan tempatan terlibat tampil lagi dan kali ini kerana kecewa apabila mendapati majikan tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak akhir tahun lalu.

Sumber yang enggan dikenali berkata, pada awalnya dia tidak menyedari perkara itu kerana penyata gaji sehingga Februari lalu mengandungi caruman KWSP, termasuk potongan wajib cukai pendapatan dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Bagaimanapun katanya, perkara itu terbongkar selepas dia mencetak penyata KWSP tahun ini untuk kegunaan peribadi, bulan lepas.

"Saya terkejut apabila mendapati penyata tersebut tiada caruman KWSP bagi individu mahupun di pihak majikan.

"Saya ada bertanyakan perkara ini kepada bahagian sumber manusia syarikat tetapi mereka enggan mengulas lanjut pada awalnya.

"Tetapi selepas didesak mereka akhirnya mengakui syarikat tidak membuat caruman KWSP. Mereka hanya beritahu syarikat sedang mengalami masalah kewangan," katanya kepada mStar Online pada pertemuan di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, mStar Online pada Isnin mendedahkan bahawa sebuah lagi syarikat penerbangan tempatan yang didakwa gagal membayar gaji kira-kira 300 pekerja, turut membabitkan juruterbang dan kru kabin.

Difahamkan, tunggakan gaji itu berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat berkenaan.

Mengenai caruman, sumber mendakwa, syarikat penerbangan carter itu turut didapati gagal membuat caruman bagi cukai pendapatan dan Perkeso.

Susulan perkara itu, dia bersama rakan-rakan telah membuat aduan dan laporan kepada KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso.

"Laporan telah dibuat kepada pihak berkenaan. Kami dimaklumkan aduan tersebut akan diambil perhatian dan pegawai audit akan berhubung dengan pihak syarikat untuk tindakan lanjut," katanya.

Dia dan rakan-rakan berasa tertipu dengan tindakan majikan itu berkata: "Di dalam penyata gaji kami tertera caruman itu, ini tetapi sebenarnya syarikat tak carum pun. Kenapa tipu kami?"

Sehubungan itu, dia bersama sekumpulan pekerja yang menerima nasib sama menuntut penjelasan daripada majikan.

"Kami mahu syarikat menjelaskan tunggakan gaji termasuk membuat caruman yang gagal dibuat sebelum kami memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya dengan tegas.

Sebelum ini dilaporkan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air tidak melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangannya termasuk tidak mencarum KWSP.

Rayani Air yang digantung operasi selama tiga bulan akibat masalah operasi bagaimanapun telah dibatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) serta pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada minggu lalu.

Tiada ulasan:
Write ulasan