Sabtu, 25 Jun 2016

Scha menangis depan Kaabah , Sedar Bukan Manusia Sempurna

Impian pasangan selebriti popular, Scha Alyahya dan Awal Ashaari menunaikan ibadah umrah terlaksana dan mereka selamat kembali di tanah air kelmarin.

Menurut Scha, 33, sepanjang hampir dua minggu di Makkah bermula pada 12 sehingga 22 Jun lalu, dia bersyukur apabila pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke sana dipermudahkan Allah SWT.

“Sebelum saya ke sana terdetik perasaan takut dan gementar kerana ini pengalaman pertama dan bimbang sekiranya melakukan kesalahan.

“Alhamdulillah, sepanjang di sana segala urusan ibadah kami dipermudahkan. Apa yang penting adalah niat setiap kali nak melakukan rukun umrah itu. Cuma perlu sentiasa berhati-hati agar tidak melakukan perkara yang dilarang,” katanya.

Scha yang juga pengacara program Gempak Superstar tidak dapat menahan rasa sebak apabila tiba di Masjidil Haram dan melihat Kaabah di depan mata.

Bagi Scha, kehadirannya di sana bersama keluarga adalah nikmat yang tidak terkira kerana dapat menjadi tetamu Allah ketika Ramadan.

“Apabila melihat Kaabah depan mata, saya menangis. Saya tidak sangka dapat menjadi tetamu Allah. Bukan apa, saya sentiasa sedar diri sebagai manusia biasa tidak ada yang sempurna.

“Pada masa sama tidak terlepas melakukan kesilapan dan dosa.

“Perasaan ketika itu tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Hanya Allah yang lebih mengetahui. Ia meninggalkan makna berbeza dalam diri. Inilah satu-satunya tempat yang sentiasa memberikan ketenangan tanpa mengira waktu,” katanya.

Sambung Scha, ketika berada di sana dia tidak memikirkan perkara lain selain memberi fokus kepada ibadah.

Malah, timbul kesedaran dalam diri Scha betapa pentingnya amalan bersedekah.

“Setibanya di Makkah, kami sempat berbuka puasa dengan jemaah lain. Juadah yang disediakan adalah sedekah daripada orang di sana. Saya agak terperanjat kerana tidak pernah melalui pengalaman itu di sini.

“Tak sangka ada pihak yang sanggup berbuat sedemikian sepanjang Ramadan. Justeru, setiap hari kami melakukan perkara sama dan tidak terlepas turut serta menjamah hidangan disediakan,” katanya.

Cabaran cuaca panas

Pengalaman pertama kali di Makkah satu cabaran buat Scha sekeluarga apabila cuaca mencecah 50 darjah Celsius.

“Ketika berbuka puasa, semua jemaah akan duduk bersila. Jadi dapat rasa bahang lantai itu. Namun, selepas beberapa hari saya dapat biasakan diri. Macam saya katakan tadi, Allah permudahkan perjalanan ibadah kami,” katanya.

Selain itu, Scha dapat menarik nafas lega apabila anaknya, Lara Alana tidak meragam sepanjang di sana.

Malah anak perempuannya itu seronok dan menjadi diri sendiri seperti di tanah air.

“Insya-Allah sekiranya diberikan rezeki lagi, saya dan suami mahu kembali lagi ke sana. Ketika nak meninggalkan Makkah, saya berasa sayu.

“Saya berdoa semoga dipanjangkan usia dan diberi kesempatan menjadi tetamu Allah lagi pada tahun depan,” katanya.

Berkenaan penampilannya pula iaitu mengenakan tudung, Scha sentiasa berdoa agar diberikan hidayah ke arah itu.

“Siapa yang tak nak berhijrah ke arah kebaikan. Jadi saya sentiasa memohon supaya terbuka hati,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan