Isnin, 13 Jun 2016

'Saya Terasa Rugi Jika Tak Dapat Pegang Tangan Isteri'

Suka tengok Ustaz Nasru dengan isterinya. Semasa saya dengan isteri, Ustaz Nasru dan keluarganya berbuat puasa, dia menjemput isterinya duduk. Dia melayani anak-anaknya dan sentiasa memegang tangan isterinya. Terasa suka melihat seorang suami melayan isterinya seperti permaisuri, isteri yang banyak berjuang untuk kita.

"Setiap malam saya bawa isteri dan anak-anak pergi tarawih. Malam-malam, kami ronda-ronda di bandar Miri ini. Bawa pusing-pusing, bergurau, bermain kejar-kejar," katanya.

Ustaz Nasru orang yang menyambut saya di airport Miri. Dia melayan saya dengan baik sepanjang perjalanan. Berkat cinta dan kasih sayangnya dengan isteri.

"Ustaz, hidup saya rasa tenang asbab doa arwah ibu bapa yang semuanya pergi baru-baru ini dan sokongan dari isteri saya sendiri. Saya terasa rugi jika tidak dapat memegang tangan isteri. Saya bahagia bersamanya.

"Kami dapat anak yang pertama selepas 5 tahun. Saya banyak meluangkan masa untuk isteri dan anak-anak. Berkat dari itu, Allah berikan rezeki mencurah-curah," ceritanya.

Kini Allah mudahkan buat dirinya dengan dua buah restoran. Nass Cafe dan DSeleraKelate di Miri. Seronok berbuat mengenai restoran, saya pun bersyukur Allah mudahkan perjalanan Paramount coffee House di Bangi Sentral. Ramai orang walaupun datang dari jauh-jauh. Seronok belajar berniaga, paling menarik ialah yakin pada Allah. Buat amalan yang menarik rahmatNya, antaranya berbuat baik pada ahli keluarga.

"Apa rahsia Allah beri rezeki begini?" soal saya.

"Sayangi isteri, hargai isteri, layani isteri, sayangi anak-anak dan hargai dan beri masa untuk anak-anak. Dan tidak lupa berbakti pada ibu bapa.

"Syukur ustaz, saya dapat berbakti kepada ibu bapa saya sepanjang hidup mereka," katanya membuatkan saya sebak.

Saya mendoakan beliau dan perniagaan restorannya terus maju jaya, berkat cinta dan sayang keluarga. Beliau di antara orang yang kuat menguruskan penceramah luar datang ke Miri.

Ramai orang yang bekerja kuat dan berniaga tetapi lupa menyayangi dan menghargai keluarga. Yang terlupa membimbing anak untuk solat, lupa membimbing isteri untuk solat dan al-quran yang akhirnya hilang keberkatan.

Bagaimana kita ingin menjadi orang bahagia tanpa membawa keluarga untuk solat? - Ebit Lew

Tiada ulasan:
Write ulasan