Sabtu, 25 Jun 2016

Saya Tak Mampu Beli Makanan Sedap Untuk Anak-Anak, Hati Saya Sebak - Kartini Johari

BUTTERWORTH - Nasi berlauk telur goreng mahupun bubur kanji yang diambil dari surau berdekatan sudah menjadi santapan harian buat sebuah keluarga dari Flat Ampang Jajar MPSP, Bagan, di sini.

Kartini Johari, 41, berkata, dia tidak mampu menyediakan makanan istimewa buat empat anaknya berusia antara 10 bulan hingga 16 tahun.
‘Ini saja yang termampu’
"Setiap kali nak berbuka hati saya sebak melihatkan anak-anak yang terpaksa berbuka makanan yang ala kadar sahaja disebabkan kesempitan wang.

“Saya tidak mampu nak beli makanan yang sedap-sedap, saya tidak ada wang, wang yang ada pun hanya cukup-cukup sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hidup keluarganya kini diuji selepas suami terlibat dalam kemalangan tiga bulan lalu.

"Sekarang suami tak mampu buat kerja-kerja berat.

“Disebabkan itu, pendapatan kami sekeluarga agak terjejas. Nasib jiran tetangga amat memahami, mereka banyak menolong kami sekeluarga. Sambil-sambil tu, saya membantu keluarga mencari pendapatan lebih dengan menjual kuih," katanya.

Namun, katanya, sejak akhir ini, dia perlu berulang alik dari rumah ke hospital untuk pemeriksaan anak bongsunya yang menghidap penyakit jangkitan paru-paru sejak lahir.

"Ia menyebabkan saya tidak dapat membuat dan menjual kuih," katanya.

Nasib yang menimpa keluarga ini kemudiannya mendapat perhatian daripada aktivis masyarakat, Abdullah Mohd Noor yang hadir menyampaikan bantuan kepada keluarga ini semalam.

“Bantuan yang saya berikan berupa wang ringgit. Moga dengan apa yang disumbangkan secara tidak langsung meringankan beban keluarga ini. Apa pun saya berdoa agar keluarga ini diberi kekuatan untuk menghadapi segala dugaan yang mereka tempuhi,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan