'Saya Redha Awak Memilih Dia...'


Ada seorang jejaka berkulit hitam manis, lembut pertuturan, banyak lawak. Kadang-kadang hambar, kadang-kadang lawaknya mampu membuatkan orang tak kering gusi. 

Satu hari, dia jatuh hati pada seorang gadis. Gadis itu kurang bicaranya, hanya tersenyum manis bila ada yang berjenaka padanya. Keayuan gadis itu telah mencuri hati si jejaka. 
Dengan nekad dan tekad, si jejaka pun meluahkan rasa hatinya pada si gadis itu. Hajatnya hanya untuk meluahkan beberapa baris ayat pada gadis berkenaan. Maka hati telah dibulatkan untuk berdepan. Jantungnya berdegup kencang. 

Tekad si jejaka, tak ingin bercinta. Hanya ingin menunggu dan melamar si gadis itu setelah tamat belajar. Noktah. Pasti. 

"Awak, saya terpikat pada awak. InshaAllah habis belajar kelak, saya akan meminang awak." 

Gadis itu hanya mengangguk. Mungkin juga sudah menyimpan rasa pada si jejaka kerana tiada riak tersentak di wajahnya. Senyum. Tunduk.

Rakan di sebelah gadis itu hanya mengekek ketawa. Bahan jenaka agaknya kerana jejaka itu terkenal dengan lawaknya. Rasa nak disekeh kepala ketiga-tiga rakan gadis itu, biar berhenti ketawa. Mengerti jiwa gemuruh si jejaka meluahkan rasa pada gadis idamannya. 

"Tetapi, kalau awak jumpa yang lebih baik dari saya, maka saya redha awak memilih dia dari saya." 

Senyap. Rakan-rakannya yang tadi galak ketawa berhenti melihat tahap keseriusan jejaka itu dengan suara yang sengaja direndahkan. 

Si jejaka berlalu pergi. Nafas ditarik dalam, dihela perlahan. Senyuman diukir. Kenapalah dia tidak senyum semanis kurma tadi. Bukankah sudah menyesal. 

Enam tahun. Sudah enam tahun berlalu. Hanya sipi-sipi berita sahaja yang diketahui oleh jejaka itu. Gadis itu masih hidup, dia menyambung belajar sudah cukup membuat hati jejaka itu lega. Tiada sebarang komunikasi di antara mereka berdua, mahupun bersua ataupun di alam maya. 

Enam tahun, jejaka itu masih setia. Dalam masa yang sama mengharapkan gadis itu juga begitu. Setahun saja lagi, pengajian kedua-dua mereka akan tamat. Maka janji akan ditunaikan. 

Janji yang dilafazkan oleh si jejaka bila mana gadis itu tidak mengharapkan apa-apa pada usia yang sebegitu muda. 

Hari ini, tempoh enam tahun itu belum tamat. Jejaka itu menerima berita dengan hati yang terbuka. Redha, ayat yang disemat kemas di dalam dada. 

Gadis itu telah bertemu dengan yang lebih baik. Jauh lebih baik, terbaik. Dia bertemu dengan penciptaNya. Maka si jejaka dengan redha melepaskannya. Melepaskan dia pergi buat selama-lamanya. Berharap si gadis bahagia bertemu Yang Terbaik. 

Al-Fatihah - Maliq Azhar | 

0 comment... add one now