Isnin, 27 Jun 2016

Saya Dahulukan Pakaian Raya Anak-Anak,

KUALA TERENGGANU - “Saya dahulukan pakaian anak-anak, saya ni tak mengapalah pakai baju lama pun, bukan boleh ke mana-mana,” kata seorang bekas tukang rumah, Wan Manan Wan Nik, 52, yang terlantar sejak hampir empat tahun lalu akibat mengalami masalah saraf jenis Spinal Muscular Atrophy (SMA).

Katanya, dia yang terlantar sekian lama itu, lebih gembira melihat anak-anak dan isteri memakai pakaian baharu ketika menyambut hari raya berbanding dirinya yang sudah lali beraya dalam keadaan terbaring di atas katil di rumahnya di Kampung Kuala Belara, di sini.

Menurut Manan, dia beruntung kerana memiliki keluarga yang mengambil berat terhadap keperluannya, walaupun kini tidak lagi dapat memberi nafkah kepada isteri dan empat anaknya yang berusia 12 hingga 18 tahun.

Perbelanjaan keluarga itu kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia termasuk bantuan persekolahan tiga anaknya berusia 12, 14, dan 16 tahun.
“Biarlah anak-anak gembira”
Sementara itu, isterinya, Arifa Abdullah, 37, berkata, dia tidak dapat keluar bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga kerana perlu berada di sisi suaminya sepanjang masa.

“Saya nak pergi masak pun kena tunggu anak-anak balik sekolah dulu, kalau tak, saya tak tinggal dia (suami) seorang diri. Bila dah terbaring lama ni, macam-macam kena tengok kan keperluannya.

“Saya yang uruskan semuanya termasuk mendukungnya sebelum diletakkan di atas kerusi roda, mandikan, suapkan dan semuanya saya kena buat sebab dia memang tak boleh bergerak langsung.

"Tangan pun saya yang perlu gerakkan atau sentiasa alih (tukar posisi) supaya dia berasa selesa,” katanya ketika menerima kunjungan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu yang hadir memberi sumbangan kepada keluarga Wan Manan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia cawangan Terengganu, Zuraidy Zainal Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kuala Belara, Abdullah Mat Ali.

Arifa berkata, doktor pernah memberitahu peluang suaminya sembuh sepenuhnya amat tipis dan dia terpaksa akur dengan nasihat doktor.

Bagaimanapun, Arifa bersyukur kerana segala perbelanjaan dapat diatur dengan baik setakat ini memandangkan suaminya masih mampu menjamah makanan yang dimakan mereka anak beranak.

“Alhamdulillah setakat ini, suami tak guna lampin pakai buang dan minum susu khas, sebab itu perbelanjaan untuk dia masih boleh berjimat, lepas ni tak tahu lagi macam mana.

“Nak kata tak cukup pun (bantuan), tak elok juga, tapi kena pandai jimat lah kerana ini saja yang ada untuk diguna setiap bulan berganti tahun,” katanya.

Dalam masa sama, Arifa turut mengambil upah menjaga seorang kanak-kanak berusia tiga tahun supaya dapat menampung perbelanjaan keluarganya.

Tiada ulasan:
Write ulasan