'Saya Bukan Peminta Sedekah, Saya Jual Suratkhabar'

Nama aci ini, Chitamal. Kerjanya, jual suratkhabar di tepi jalan. Saya selalu beli suratkhabar dari aci ini sebab mudah dalam perjalanan harian saya, selepas menghantar anak ke sekolah nak balik ke rumah.

Aci ini seorang yang jujur. Kadang-kadang saya beli 8 suratkhabar kalau ada berita penting yang saya nak baca.

Aci ini pula tak tahu mengira harga suratkhabar jika lebih dari 3. Jadi, kalau saya beli 8 suratkhabar, saya pasti menghadapi masalah untuk menunggu aci ini mengira jumlah harga 8 naskah suratkhabar berkenaan.

Masalahnya, saya nak cepat, sebab ini jalan utama yang menganggu kereta lain kalau saya berhenti lama. Jadi saya kadang-kadang saja nak sedekah pada aci ini, saya bayar saja RM20 dan terus berlalu pergi dari situ.

Rupa-rupanya aci ini marah pada saya.

"Saya bukan peminta sedekah, saya jual suratkhabar," katanya.

Jadi, kalau harga 8 suratkhabar itu RM12.30, dia enggan menerima RM20 tanpa memulangkan baki wang kepada saya.

Keesokan harinya, aci itu tunggu di tepi jalan seperti biasa, dia tunggu kereta saya lalu dan dia tahan kereta saya untuk memulangkan baki RM7.70.

Sepanjang perjalanan balik, saya mengalirkan air mata mengenangkan kejujuran seorang aci penjual suratkhabar di tepi jalan di Selayang Jaya.

Kejujuran adalah segala-galanya dalam kehidupan kita. Aci Chitamal ini adalah antara sumber inspirasi hidup saya. Nandri aci. - Buzze Azam |

0 comment... add one now