Khamis, 16 Jun 2016

Sadis, 8 Beranak Terpaksa catu makanan berbuka

KANGAR - Ketika umat Islam lain mewah berbelanja untuk membeli makanan berbuka puasa, namun tidak bagi lapan beranak di Kampung Abi Batas Paip yang terpaksa mencatu makanan mereka.

Mohd Syukri Basri, 40, berkata, pendapatannya yang hanya bekerja kampung tidak cukup untuk menampung keperluan enam anaknya yang berusia dua hingga 16 tahun.

Mohd Syukri yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) tidak mampu melakukan kerja berat kerana jari tangan dan kakinya kudung.
Terpaksa catu makanan berbuka
Namun begitu, kekurangannya itu tidak pernah dijadikan alasan kepadanya untuk mencari rezeki menyara keluarga dengan mengambil upah memanjat pokok kelapa sekitar kampung.

“Pendapatan saya sehari dalam RM20 dan hanya cukup membeli keperluan makan minum dan itu pun tak boleh nak boros sangat,” katanya.

Difahamkan, tiga daripada enam anaknya itu turut memegang kad OKU kerana mengalami masalah pendengaran dan lembam.

Menurut Mohd Syukri, dia bersyukur kerana mendapat bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Namun begitu ia tetap tak cukup, jadi saya terpaksa ambil keputusan untuk berhentikan anak-anak dari terus bersekolah.

“Saya tahu pendidikan sangat penting tapi saya memang tak ada jalan lain,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Zarina Osman, 35, berkata, dia tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anak bongsunya yang berusia dua tahun.

Menurut Zarina, ada penduduk yang selalu sedekahkan makanan kepada keluarganya.

“Bila ada orang kampung beri makanan, anak-anak sangat gembira,” katanya sedih.

Dalam pada itu, Mohd Syukri juga memohon pihak berkenaan turun padang melihat kehidupan mereka anak beranak yang tinggal dalam sebuah rumah serba kekurangan.

Tiada ulasan:
Write ulasan