Ahad, 19 Jun 2016

Rupa Cantik Tapi Akhlak Buruk - Hafidz Roshdi

Ramadan kali ini sangat bermakna buat pelakon Hafidz Roshdi, 22. Ini kali pertama dia meraikan bulan penuh berakah ini bersama isteri tercinta.

Katanya, kalau dulu hidangan waktu berbuka dan bersahur, ibu yang sediakan tapi sekarang isteri mengambil alih tugas itu.

“Ramadan kali ini dirasakan sangat meriah kerana saya dan isteri mengambil kesempatan berbuka di rumah kedua-dua belah keluarga. Insya-Allah kunjungan ke rumah sanak saudara juga ada dalam perancangan kami,” katanya.

Membimbing isteri tatkala solat jemaah mahupun menunaikan solat Tarawih di masjid menyedarkannya tanggungjawab suami bukan hal main-main. Tanggungjawab itu secara tidak langsung membentuknya menjadi insan yang lebih baik.

Demi memperoleh keberkatan pada Ramadan, Hafidz membataskan kerjaya seninya dengan tidak mengambil sebarang tawaran berlakon.

Ini bagi membolehkannya memanfaatkan peluang bersama keluarga selain menghadiri aktiviti amal dan majlis berbuka puasa.

“Saya berehat sepanjang Ramadan. Kalau adapun aktiviti, kebanyakannya program bersama TV3 dan menghadiri jemputan berbuka puasa,” katanya.

Sejak berkahwin dengan Nurul Shuhada pada 30 April lalu, bintang utama Tundukkan Playboy Itu mengakui kehidupannya kini lebih teratur.

Menurutnya, dia tidak melihat faktor usia menghalang dia dan isteri belajar hidup berdikari.

“Saya selalu dengar orang berkata rezeki selepas kahwin dan kini saya merasai sendiri. Alhamdulillah selepas berkahwin, saya menerima banyak tawaran berlakon termasuk menjadi duta produk. Saya melihat kehidupan sekarang lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hafidz berhadapan dengan komen peminat yang menghina isterinya. Bagaimanapun, Hafidz enggan mengambil pusing isu berbangkit.

“Biar tidak cantik pada mata umum, yang penting sedap mata saya memandang. Bagi saya, kecantikan wanita tidak lengkap jika paras rupanya saja menjadi ukuran. Akhlak yang baik itu kecantikan sebenar seorang wanita dan itulah ciri yang saya cari dalam kriteria seorang isteri.

“Isteri saya latar belakang agamanya bagus dan sederhana dalam kehidupannya,” kata Hafidz membidas tohmahan ramai terhadap isterinya.

Pasangan ini juga sempat menikmati percutian bulan madu di satu lokasi dalam negara sebelum terbang ke Medan, Indonesia sebelum Ramadan. Hafidz juga merancang membawa isteri ke Tokyo, Jepun selepas Aidilfitri.

Mengenai dipilih sebagai duta produk kesihatan Maria Miracle, ia turut mengundang pertanyaan ramai memandangkan jenis produk diwakili lebih sinonim dengan wanita.

Kata Hafidz, produk itu adalah makanan tambahan yang membekalkan tenaga selain mengekalkan keremajaan kulit.

“Sebelum menerima pelawaan itu saya terlebih dulu mencubanya untuk beberapa bulan. Hasilnya sangat mengagumkan.

“Sekalipun kurang tidur dan ada kalanya lesu kerana tempoh penggambaran yang panjang, sejak menggunakan produk itu, saya kurang berasa letih. Malah kulit menjadi cerah sekalipun berpanasan di set.

“Mencari makan dalam glamor ini, saya mulai sedar betapa pentingnya penampilan diri kerana perhatian diberikan tidak saja pada lakonan, juga kemunculan di khalayak ramai.

“Sebab lain saya menerima pelawaan sebagai duta produk ini kerana ia keluaran Bumiputera,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan