Selasa, 14 Jun 2016

Proton Perdana 2016 dilancarkan – enjin Honda 2.0L dan 2.4L, berasaskan Accord, harga dari RM113,888

Selepas sekian lama berteka-teki bilakah Proton Perdana 2016 bakal diperkenalkan kepada umum secara rasminya, pagi ini tibalah masa yang dinanti-nanti. Bertempat di PICC, Putrajaya, pelancaran model Perdana 2016 ini telah pun disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Syed Faisal Albar, Pengerusi Proton dan Datuk Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Perdana generasi ke-empat ini hadir dengan dua varian iaitu 2.0 dan 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

Seperti mana yang semua sedia maklum, Proton telah menjalinkan usahasama dengan Honda bagi ‘melahirkan’ Perdana 2016 ini. Di mana Perdana 2016 ini dibina berasaskan model Honda Accord (CP)2007. Kalau diikutkan, ia merupakan konsep ‘rebadged’ yang diberikan suntikan tersendiri bagi rekaan luarannya, namun masih menggunakan elemen yang sama bagi organ dalam hudnya termasuk penjana kuasa dan transmisi.

Untuk pengetahuan semua, Proton sedang membangunkan enjin dan transmisi baharu (CVT akan digunakan bagi menggantikan kotak gear konvensional automatik) bagi beberapa modelnya termasuk Perdana yang dijangka akan diperkenalkan pada akhir tahun 2017. Ok, kita ketepikan sejenak mengenai ‘jantung’ baharu yang sedang dibangunkan oleh Proton ini.

Berbalik kepada Perdana 2016, jika dilihat dari imej luarannya, ternyata Perdana 2016 ini cuba lari dari dibayangi oleh model Accord. Bahagian hadapan Perdana 2016 ditampilkan dengan kemasan berwarna hitam beserta bar krom yang tebal merentanginya. Logo Proton baharu yang besar dan berkonsepkan 3D diletakkan di bahagian tengah. Kemasan trim nipis turut ditempatkan pada barisan kedua gril tersebut.

Varian 2.0L hanya dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan projektor halogen, manakala varian 2.4L dilengkapi dengan lampu hadapan projektor HID bersama larasan automatik. Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan lampu nyalaan siang dibina sekali pada lampu hadapan yang kelihatan seperti kening jika dihidupkan.

DNA Proton turut ditampilkan pada penutup bonet hadapan di mana bahagian tengah bonet tersebut timbul bermula pada bahagian logo Proton pada gril hadapan, dan mengembang sehingga ke bahagian belakang bonet tersebut (seperti Preve, Iriz dan lain-lain).

Apron hadapan turut direka dengan menempatkan gril pada bahagian bawah yang meliputi sekali perumah lampu kabus pada setiap sisi. Kedua-dua varian turut boleh dibezakan pada bahagian ini kerana varian 2.4 dilengkapi dengan kemasan krom nipis merentanginya (tiada pada varian 2.0L).

Selain lengkok yang berbeza pada bahagian hadapan dapra (fender) kerana lampu hadapan yang telah direka semula, Proton turut menempatkan kemasan unik berwarna hitam dan disertakan kemasan krom yang bersambung terus dengan garisan badan pada pintu hadapan hingga pintu belakang. Perdana 2016 masih menggunakan pintu yang sama dengan Accord untuk bahagian hadapan, tetapi pintu belakang, ia telah direka semula oleh Proton.

Perdana dilengkapi dengan roda aloi 17-inci pelbagai jejari rekaan terbaharu Proton. Kedua-dua varian menerima roda dengan motif rekaan yang sama, tetapi dibezakan dengan kemasan akhir di mana roda varian 2.0L berwarna perak manakala varian 2.4L menerima roda dengan kemasan akhir dua-ton (hitam dan aloi digilap).

Tiang-C Perdana telah ‘ditarik’ lebih ke belakang lagi serta turut menempatkan sebuah lagi tingkap ‘quater window‘ tambahan. Perubahan ini bukan sahaja membuatkan profil sisi Perdana kelihatan seperti Nissan Teana atau Ford Mondeo, ia turut menampakkan badannya seolah-olah jauh lebih besar berbanding Accord CP.

Selain itu, bahagian belakang Perdana merupakan bahagian yang langsung berbeza dari Accord. Bermula dari tiang-C yang telah dipanjangkan tadi, but belakang Perdana seakan dibina lebih tinggi berbanding Accord. Sebuah bar krom diletakkan merentangi penutup but yang turut menempatkan logo 3D Proton bersaiz besar, menghubungkan sepasang lampu belakang LED berbentuk-C.

Lampu belakang tersebut turut bersambung dengan sebahagian lagi lampu yang terletak pada penutup but, di atas kemasan bar krom. Berbeza dengan lampu brek ketiga Accord yang terletak pada cermin belakang, lampu brek ketiga Perdana turut diletakkan pada bahagian tengah penutup but.

Bampar belakang Perdana menerima kemasan bahagian bawah yang direka berbentuk seakan ‘diffuser‘ yang turut menempatkan sepasang reflektor, sepasang ‘perumah tip ekzos palsu’ (Perdana hanya dilengkapi dengan muffler dan tip ekzos tunggal pada sebelah kanan dan menghala ke bawah) perumah nombor pendaftaran dan juga kamera undur. Nampak agak sarat apabila bahagian ini diwarnakan pula sama dengan warna badan, secara tidak langsung menyerlahkan ‘kepalsuan’ perumah tip ekzos berkenaan.

Di sebalik ‘kulit’ Perdana 2016 di bahagian luaran, bentangan kabin sedan segmen-D ini masih kelihatan mirip dengan Accord. Berbeza dengan Accord yang mempunyai hanya sebuah skrin TFT 6.2-inci pada bahagian atas dan sistem pemain audio dengan suis kawalan analog pada bahagian bawah, konsol tengah pada papan pemuka Perdana menampilkan dua buah skrin iaitu skrin bahagian atas yang memberikan maklumat berkaitan sistem penghawa dingin, sistem audio dan jam digital serta sistem navigasi (untuk varian 2.4) manakala skrin bahagian bawah merupakan skrin untuk sistem infotaimen.

Varian 2.0 akan menerima kabin dengan tema warna hitam digandingkan dengan kemasan-kemasan berwarna perak dan hitam berkilat. Varian 2.4 akan menerima dua tema warna iaitu warna Beige dan warna hitam, digandingkan dengan kemasan bermotif kayuan dan sedikit kemasan berwarna perak

Bagi varian 2.0L, ia berukuran 4,999 mm panjang, selebar 1,845 mm, setinggi 1,475 mm dan jarak roda 2,800 mm. Sama seperti varian 2.4L, cuma ia berbeza bagi ukuran panjangnya iaitu 5,020 mm. Ia turut berkongsi jejari pusingan yang sama iaitu 5.7 m dan tangki bahan apinya pula berkapasiti 70 liter.

Bagi aspek keselamatannya, ia hanya pada tahap sederhana dan memadai dengan empat beg udara (dua di hadapan, dua di sisi) bagi kedua-dua varian. Selain menampilkan ABS dengan EBD, Isofix, tali pinggang keledar pra-regangan serta pengesan parkir hadapan dan belakang. Manakala tambahan elemen bagi varian 2.4L yang dilengkapi dengan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

Menyentuh mengenai sudut mekanikalnya, seperti yang dinyatakan pada awal artikel ini, Perdana 2016 ini
masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm.

Begitu juga dengan varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

Bagi sistem suspensinya, ia dipadankan dengan Independent Double Wishbone dengan gegelung pegas dan penstabil bagi hadapan, manakala untuk belakang pula dengan Independent Multi-Link juga bersama gegelung pegas dan penstabil. Manakala sistem brek pula dengan cakera Ventilated untuk hadapan dan cakera Solid di belakang.

Perdana 2016 ini ditawarkan dengan enam pilihan warna iaitu Graphite Grey, Sterling Silver, Ruby Red, Cotton White, Midnight Black dan Citrine Gold.

Sejak tempahan mula dibuka pada Februari lalu, Proton telah menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara dan dijangka mampu menjual kira-kira 3,000 buah Perdana baharu ini pada akhir 2016.

Tiada ulasan:
Write ulasan