Khamis, 30 Jun 2016

Pramugari bertudung mampu lonjak imej MAS

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan melaksanakan pengambilalihan MAS melalui Khazanah Nasional Bhd untuk proses transformasi syarikat penerbangan negara itu disokong Pemuda Umno.

Namun, Exco Pemuda Umno, Dazma Shah Daud berkata, pengurusan baharu MAS perlu buat beberapa perubahan polisi untuk buktikan transformasi itu.

“Kami mencadangkan pengurusan MAS memberi kelonggaran atau mewajibkan pramugari beragama Islam memakai tudung dan mengenakan seragam yang menutup aurat.

“Isu ini bukan perkara baharu, malahan ia mendapat desakan daripada kebanyakan rakyat negara ini yang mahu melihat MAS lebih menekankan aspek Islamik dalam kalangan kakitangan mereka,” katanya yang juga Pengerusi Biro Pekerja Muda.
Pramugari bertudung mampu lonjak imej MAS
Katanya, usul itu akan dibawa dalam Mesyuarat Exco Pemuda Umno, hari ini.

Dazma berkata, pengurusan MAS tidak perlu gusar tentang persepsi penumpang luar negara atau bukan Islam kerana masyarakat global kini sudah terbuka menerima pemakaian tudung dan uniform yang lebih sempurna.

Malah kata beliau, imej dan integriti MAS akan lebih melonjak terutamanya dalam kalangan penumpang negara Islam serta akan dihormati oleh masyarakat antarabangsa.

“Imej bertudung tidak lagi menjadi imej tabu kerana pemakaian mengikut syariat Islam itu sudah mampu diterima majoriti masyarakat global.

“Jangan rasa takut perniagaan terjejas kerana kita kena yakin dengan ketentuan ALLAH SWT kalau kita mengikut suruhan-Nya,” katanya.

Beliau berkata, sudah banyak syarikat penerbangan seperi Royal Brunei Airlines, Saudi Airlines dan Iran Air mewajibkan pramugari mereka memakai tudung dan ia terbukti tidak menjejaskan reputasi syarikat penerbangan tersebut.

“Tiba masanya pengurusan baharu MAS meneliti dan mengkaji kembali polisi pemakaian uniform dalam kalangan kru penerbangan mereka.

“Pemuda Umno pasti majoriti rakyat negara ini akan memberi sokongan sepenuhnya jika kakitangan MAS berpakaian menutup aurat dan lebih sopan,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan