Polis Mahu Perkenal Undang-Undang Kesan, Halang Pesalah Laku Seks

PETALING JAYA: Bukit Aman akan bertindak untuk memastikan undang-undang bagi mengesan pesalah laku seks lebih awal menjadi kenyataan, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Polis Negara berkata, penguatkuasaan undang-undang lebih ketat perlu terhadap perlakuan yang bermula daripada tindakan mendapat kepercayaan kanak-kanak untuk eksploitasi seks, adalah perkara yang serius.

"Polis sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan terhadap pesalah seksual terutama mereka yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

"Undang-undang ini adalah penting untuk menangkap pesalah laku seks sebelum anak-anak muda kita dieksploitasi," katanya kepada The Star pada Selasa.

Mengulas mengenai laporan muka depan The Star pada Selasa mengenai pesalah pedofilia mencari mangsa menerusi aplikasi sembang dalam talian, Khalid berkata, beliau menyokong untuk pengenalan undang-undang bagi menghalang cubaan menarik perhatian mangsa itu.

"Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini secara serius. Ia sudah tentu akan membantu polis menangkap pesalah laku seks ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan setiap aktiviti penderaan seksual, termasuk 'mengumpan' pedofil seiring usaha untuk memperkasakan perundangan dan penguatkuasaan undang-undang.

"Kita perlu mengadakan pertemuan dan menyelaras dengan agensi-agensi lain seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum boleh bertindak berhubung perkara itu," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pendaftaran pesalah laku seks dilaksanakan, Nur Jazlan berkata, kementerian itu sudah tentu akan menyokongnya.

Beliau akan memastikan kementeriannya mempertingkatkan usaha untuk menangkap pesalah laku seks, terutama mereka yang menyasarkan kanak-kanak.

Ini katanya, dapat dilakukan menerusi latihan yang bersesuaian untuk anggota polis mengesan sebarang kemungkinan aktiviti 'mengumpan' individu terlibat secara dalam talian.

Polis turut akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa mengumpan kanak-kanak seperti yang dibongkarkan dalam laporan wartawan R.AGE The Star.

Wartawan R.AGE menyamar sebagai gadis bawah umur menerusi aplikasi sembang mudah alih bagi menyiasat trend baharu mengumpan mangsa di alam siber dengan cara lucah, disusuli perbuatan seksual.

"Mereka yang menghantar mesej yang berunsur seks boleh didakwa di bawah Seksyen 354 kerana berniat untuk mencabul kehormatan," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak polis (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Ong Chin Lan.

"Tetapi sekiranya ia 'mengumpan' sebagai contoh, jika mereka hanya bercakap mengenai seks, maka tak ada apa yang boleh kita lakukan."

Chin Lan berkata, orang ramai perlu terus dididik mengenai modus operandi pesalah laku seks, kerana ramai di antara mereka mengumpan mangsa tanpa menghantar mesej yang eksplisit.

"Adalah penting untuk memaklumkan tentang modus operandi mereka supaya orang ramai akan merasai kesan keadaan itu."

Beliau berkata, pendaftaran seks pesalah perlu diwujudkan, berasingan daripada pendaftaran jenayah yang sedia ada.

0 comment... add one now