Ahad, 26 Jun 2016

Peminjam Kecewa Karenah Birokrasi Pembayaran Semula PTPTN

PUTRAJAYA: Terkesan dengan kempen potongan sebanyak 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Safura Foo nekad membayar baki pinjamannya sebanyak RM18,449.35 pada Mac tahun lepas.

Namun, kegembiraan dan rasa lega itu hanya bertahan sehingga Mei lalu, apabila beliau disekat untuk ke luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) oleh Jabatan Imigresen kerana namanya masih tersenarai dalam senarai hitam jabatan itu.

"Saya amat terkejut apabila disekat semasa hendak melancong ke Melbourne, Australia dan dimaklumkan ia kerana saya masih mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN lebih RM3,000.

"Untuk membolehkan nama dikeluarkan dari senarai hitam, saya diminta membayar RM1,000 dan dalam keadaan mendesak untuk berlepas, saya menjelaskan bayaran itu secara dalam talian," katanya kepada Bernama.
ptptn
Bagaimanapun, bekas pelajar bidang fotografi dari Segi College, Subang Jaya berusia 24 tahun itu tetap memendam rasa marah dan kecewa dengan PTPTN mengapa beliau masih dalam kategori berhutang dan kenapa rekod pembayarannya tidak dikemas kini sedangkan baki hutang tabung itu telah dilunaskan lebih setahun.

Kembali dari Melbourne, Safura segera ke Pejabat PTPTN di UTC Kuala Lumpur bagi mendapatkan penjelasan dan selepas disemak, dirinya dikatakan masih mempunyai bayaran tertunggak lebih RM3,000 kerana 'cek tidak ditunaikan' atau "cheque was not cleared", suatu jawapan yang amat mendukacitakan buat gadis dari Subang Jaya, Selangor.

"Saya amat kecewa, kenapa selepas menjelaskan semua bayaran, rekod pembayaran tidak dikemas kini dan lebih setahun tiada sebarang surat atau notis pemberitahuan yang diterima.

"Walaupun telah membuat aduan, hampir sebulan berlalu, PTPTN masih belum memberi maklum balas mengenai status aduan," katanya dalam nada kecewa.

Katanya beliau turut dimaklumkan oleh pegawai imigresen di KLIA bahawa insiden yang menimpanya bukan kes pertama dan ramai yang telah terpaksa membuat bayaran RM1,000 bagi mengeluarkan nama dari senarai hitam dan boleh ke luar negara.

Selain Safura, peminjam PTPTN yang lain turut menghadapi masalah sama, khususnya mereka yang berhasrat untuk membuat bayaran secara ansuran melalui potongan gaji.

Seorang peminjam yang mahu dikenali sebagai Kho, 33, lulusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi pengalaman berhadapan kerenah birokrasi PTPTN apabila permohonannya untuk membuat bayaran melalui potongan gaji yang dipohon sejak Ogos tahun lepas masih tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.

Katanya walaupun telah berulang kali bertanyakan tentang status potongan gaji di kaunter PTPTN di Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini, namun yang mendukacitakan tiada maklum balas positif diterima daripada perbadanan itu.

"Masalah di sini, bukan peminjam tidak mahu bayar, namun proses dan kerenah birokrasi menghalang pembayaran dibuat dan saya harap kerajaan dan PTPTN dapat melakukan sesuatu agar tunggakan bayaran mencecah berbilion ringgit itu dapat dikurangkan," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan