Oja 'Hilang' Setahun Selepas Dikaitkan Punca Diana Rafar & Zamarul Berpisah

KUALA LUMPUR: Penyanyi pelakon 1980-an iaitu Oja mengambil masa lebih setahun untuk ‘menyembunyikan’ diri selepas  dikatakan menjadi punca terhadap perceraian pelakon Zamarul Hisyam dan Diana Rafar.

Oja atau nama sebenarnya Daninas Huza Daud, 37,  berkata, tuduhan itu membuatkan dia menjadi trauma kerana peristiwa itu melibatkan rumah tangga seseorang.

"Secara peribadi saya anggap isu itu sudah selesai tetapi sebenarnya saya mengambil masa setahun untuk berdiam diri agar ian tidak berpanjangan. Tuduhan itu sama sekali tidak benar yang dilemparkan kepada saya,” katanya kepada mStar Online.

Terdahulu Zamarul Hisyam, 45, dan Diana Rafar 34, mengejutkan orang ramai apabila mereka bercerai talak satu pada 14 Januari 2015 selepas enam tahun berumah tangga.

Bagaimanapun pasangan berkenaan rujuk semula kira-kira sebulan selepas cerai.

Oja turut dikaitkan sebagai individu yang menjadi puca kepada peristiwa berkenaan.

Dalam pada itu Oja berkata, semasa kontroversi itu berlaku, dia sedang membuat persiapan untuk bertunang namun keluarga bakal isterinya pada ketika itu memahami dan tidak melatah.

Ujar Oja, dia mengenali Diana sejak zaman remaja dan pernah terlibat dengan penghasilan kerja-kejra studio serta projek single Diana dan kakaknya iaitu Linda.

"Sebagai kawan lama sudah tentu saya sedia membantu untuk menyiapkan projek itu dan ingin saya tegaskan ketika itu saya sebenarnya banyak berurusan dengan Linda dan suami.

"Entah di mana silapnya, nama saya mula dikaitkan dengan Diana dan saya betul-betul terkejut kerana ia telah menjadi satu kes yang agak serius sebelum saya mengambil keputusan untuk menyendiri dan menjauhkan diri daripada pelbagai pihak,” katanya.

Kata Oja, keputusan menyendiri bukan kerana ingin bersikap lepas tangan tetapi tidak mahu isu tersebut terus berpanjangan yang kelaknya memberi masalah tidak sahaja di pihak Zamarul dan Diana, tetapi juga di pihak dia dan bakal isterinya ketika itu.

"Alhamdulillah, tindakan itu sebenarnya banyak membantu dan secara peribadi saya berasa amat gembira melihat Zamarul dan Diana kembali hidup bahagia selepas kontroversi itu. Isu tersebut dah setahun lebih berlalu dan saya kini bahagia dengan isteri tercinta,” ujarnya tersenyum.

Berkongsi tentang kehidupannya kini, Oja berharap perkahwinan ketiganya merupakan perkahwinan terakhir selepas dua perkahwinannya sebelum ini gagal.

"Saya pernah berkahwin pada 2001 namun hanya bertahan selama lima tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan, DaninurAtiqah, 13. Dia sekarang bawah jagaan saya.


Perkahwinan kedua pula pada tahun 2007 namun jodoh kami tidak panjang sebelum berpisah pada 2010. Bersama isteri kedua saya dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Daniel Ashraf yang berusia tujuh tahun dan melalui perkahwinan ketiga pada 2015. Maaf ya, atas permintaan bekas-bekas isteri dan isteri sekarang, mereka tidak mahu nama mereka dikongsi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Oja kini bersedia untuk kembali ke dunia hiburan bersama kumpulan yang diberi nama Tunable Band di mana mereka sudah menghasilkan 10 buah lagu termasuk sebuah lagu Hari Raya ciptaannya berjudul Kenangan Indah Di Aidilfitri.

Oja dikenali sekitar tahun 90-an menerusi drama Balada Anak Jalanan selain turut menerbitkan sebuah album berjudul Anak Jalanan.

0 comment... add one now