Selasa, 28 Jun 2016

'Menyesal Aku Mempergunakan Dia Semasa Study Dulu...'

10 tahun yang lalu selepas SPM, saya menyambung pelajaran di sebuah IPTA di ibu kota. Kos yang saya ambil, bukanlah minat saya. Tetapi disebabkan desakan ibu, lalu saya akur sahaja dengan kehendaknya. 
Ketika itu, saya masih belum matang, cukup sekadar menghabiskan pengajian, dapat sijil untuk mencari kerja dan selepas itu saya akan bebas sepenuhnya. 

Pada masa itu, saya mempunyai 3 sahabat karib. A, B dan C. Antara keempat-empat kami, C adalah seorang yang pendiam dan tidak pandai bergaul. Namun, dia amat rajin belajar dan sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang. C juga tiada kawan lain selain dari kami.

"Nasib baik orang 'kutip' aku. Kalau tak, entah ke mana-mana aku pergi seorang diri membawa diri," katanya.

Saya, A dan B boleh dikatakan datang dari keluarga yang senang. Manakala C pula sebaliknya. Namun begitu, atas nama persahabatan, kami sentiasa membantu C terutamanya dari segi kewangan tetapi dengan syarat. Segala assignment yang diberikan oleh lecturer, C perlu siapkan terlebih dahulu dan kami hanya tinggal copy paste sahaja. Begitu juga dengan presentation, fyp atau apa-apa sahaja yang melibatkan subjek, C perlu membantu kami untuk menyiapkannya. Yang kami tahu pada ketika itu hanyalah enjoy dan pergi ke kelas sekadar memenuhi kedatangan. Bukannya keinginan untuk menuntut ilmu. 

C juga pernah mengajak kami untuk buat study group. Malah dia sudi mengajar kami apa-apa subjek yang kami tidak faham. Tetapi, disebabkan tiada minat belajar, segala cadangan yang diutarakan C hanya masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. 

Kami lebih suka bergosip tentang artis-artis tempatan dan luar negara, fesyen-fesyen terkini dan gosip tentang senior-senior yang kacak di tempat kami belajar. Tiada langsung keinginan untuk berbincang tentang study kecuali bila nak final exam. 

Ketika itu, kami memang memaksa C untuk mengajar kami dari A-Z. Kami sering mengungkit segala pemberian dan bantuan yang kami berikan kepada C sebelum ini tanpa memikirkan keadaan dirinya. Pernah sekali sewaktu study week, C terpaksa pulang ke kampung untuk menjaga ibunya yang sakit. Namun, disebabkan waktu final exam sudah semakin dekat, kami memaksa C untuk pulang ke kampus dan mengajar kami semua. 

"Weh! Kau balik la kampus. Kitorang perlukan kau ni. Mak kau tu, nanti-nantilah jaga. Tak ada apa tu. Kitorang dah banyak tolong kau dari segi duit bagai, takkan kau tak nak tolong kitorang pulak?"

C cuba jelaskan bahawa dia terpaksa menjaga ibunya yang sakit strok, namun kami tidak peduli dengan alasannya itu. Kami mula mengugut mahu menuntut segala pemberian yang telah kami beri kepadanya dari awal perkenalan sehinggalah ke tahun akhir. C akur dan akhirnya pulang ke kampus untuk mengajar kami. Waktu itu, kami tak terfikir apa-apa memandangkan C masih lagi boleh bergelak ketawa bersama kami walaupun adakalanya dia termenung bersendirian. 

Selepas habis belajar, kami berempat bercadang untuk mencari pekerjaan. Rezeki C lebih awal daripada kami kerana dia tidak sempat menganggur terus diterima masuk ke Petronas. Sedangkan kami bertiga masih lagi terkulat-kulat mencari pekerjaan. Kami bertiga gigih mencari kerja, namun semua hampa. Adakalanya kami cemburu dengan C kerana tidak sampai setahun dia bekerja, dia sudah mampu membeli kereta yang agak mewah dan sebuah rumah teres satu tingkat untuk keselesaan ibu dan adik-beradiknya. Walaupun begitu, C tidak pernah sekali pun melupakan kami. Dia sentiasa belanja kami di kedai-kedai makan yang mewah dan faham bahawa kami masih belum mendapat pekerjaan yang tetap. 

Setelah tiga tahun, saya, A dan B masih lagi berada di takuk lama. Kami sering bertukar kerja kerana sering mendapat tempat kerja yang teruk. Saya juga fedup dengan makan gaji dan pernah cuba utnuk berniaga tetapi semuanya tidak menjadi. Apa saja yang kami lakukan, semuanya tidak menjadi. 

Akhirnya saya pasrah dan mengadu pada Allah. Saya buat solat taubat dan menangis mengenangkan hidup saya tidak seperti orang lain. Saya juga sudah bekerja hampir 3 tahun tetapi tiada simpanan langsung. Saya juga tidak layak membuat pinjaman pembelian kereta kerana tidak pernah bekerja lama di satu tempat lebih dari 6 bulan (asyik bertukar tempat kerja). Saya minta Allah berikan saya petunjuk. 

"Kalau saya berdosa dengan ibu bapa, tunjukkanlah agar saya boleh meminta ampun dari mereka."

Saya juga buat solat sunat taubat setiap hari agar Allah berikan petunjuk apakah punca semua ini berlaku. 

Satu malam saya bermimpi, saya ternampak C sedang menangis tersedu-sedu di atas sejadah sambil memakai telekung seperti baru lepas solat. Dia berdoa sambil menangis, doanya lebih kurang seperti ini:

"Ya Allah, mereka banyak membuli aku Ya Allah. Selama ini mereka banyak membuli dan mempergunakan aku. Aku redha Ya Allah. Tetapi kali ini aku memang tak tredha. Mak aku tengah sakit, sampai hati mereka paksa aku balik semata-mata nak mengajar mereka. Walaupun mereka banyak membantu aku, tetapi kali ini aku memang tidak redha. Berikanlah balasan yang setimpalnya kepada mereka kerana telah melukakan hatiku," 

Aku terus terjaga, teringatkan C. Tanpa sedar aku menangis. Rupa-rupanya kami sudah banyak melukakan hati C. Esoknya saya terus pergi ke rumah C. Aku peluk dia dan menangis. Aku minta ampun sebab sudah melukakan hati dia semasa belajar dulu. Akhirnya kami sama-sama menangis. 

"Aku dah lama maafkan kau dunia akhirat dan halalkan ilmu yang telah berikan semasa kita belajar dulu. Aku dah halalkan semuanya," katanya. 

Selepas itu, barulah pintu rezeki aku terbuka dan melimpah ruah. Aku dapat jawatan tetap di sebuah syarikat di ibu kota dan bekerja sehinggalah ke hari ini. Namun begitu, hubungan aku dengan C baik sehingga kini. Setiap kali aku teringatkan C, pasti aku akan menangis. 

Oleh itu adik-adik sekalian, berusahalah untuk mendapatkan ilmu. Janganlah meniru. Biarlah kita mendapat keputusan yang rendah asalkan itu hasil usaha kita. Kesan dia mungkin tak nampak sekarang, tetapi akan datang juga akan merasainya. - Gadis Yang Menyesal |

Tiada ulasan:
Write ulasan