Ahad, 19 Jun 2016

Lelaki Muda 20 Tahun Ini Berkahwin Dengan Wanita Tua, Dan Ini Yang Berlaku Kepadanya

SHAH ALAM - “Jarak usia yang terlalu jauh 11 tahun dengan bekas isteri dan kebetulan saya masih belajar di sebuah kolej swasta menyebabkan hubungan cinta kami ditentang keras oleh kedua-dua keluarga. Namun didorong rasa cinta dan terhutang budi, kami nekad untuk menghalalkan hubungan di sempadan."

Demikian pengakuan, Imran (bukan nama sebenar), 26, yang ternyata menyesal dengan tindakan terburu-burunya kahwin lari tanpa restu ibu bapa dan lebih malang, perkahwinan rahsia itu tidak didaftarkan secara sah di Malaysia.
Kerana cinta, sanggup kahwin lari
“Saya berusia 20 tahun dan baharu menyambung pelajaran di kolej swasta manakala bekas isteri saya  Jasmine (bukan nama sebenar) ketika itu sudah berusia 31 tahun dan boleh dikatakan stabil kewangannya.

Imran berkata, meskipun dihalang namun Jasmine yang lebih matang meyakinkan saya untuk berkahwin dengannya meskipun tanpa restu.

“Malah, Jasmine yang mengumpul semua maklumat dan mencari ejen untuk pernikahan di Songkhla, Thailand. Saya hanya ikutkan saja dan tanpa berfikir masak-masak saya termakan dengan jaminannya bahawa kami akan bahagia selepas kahwin.

“Suatu malam dia menjemput saya di kolej dan katanya semua urusan pernikahan di Thailand sudah disediakan, saya cuma perlu bawa diri saja,” katanya.

Menurut Imran, di awal perkahwinan mereka sangat bahagia tetapi panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Selepas Imran tamat belajar, Jasmine berubah dan dia mula mengungkit memandangkan suaminya masih menganggur.

“Jasmine mengaku dia mula tawar hati dan penat menyara saya. Tak lama selepas itu saya mendapat tahu Jasmine menjalin hubungan sulit dengan rakan sepejabatnya.

“Selepas didesak akhirnya Jasmine mengaku dan meminta saya melepaskannya. Walaupun masih ada rasa cinta, saya akur dengan permintaannya,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan