Lahir Tak Cukup Bulan, Bayi Menderita 10 Jenis Penyakit

TELOK KEMANG – Perkembangan Muhamad Muadz Azmien berbeza dengan bayi seusianya kerana sejak dilahirkan hingga kini, dia masih dirawat di unit rawatan rapi neonatal (NICU) di Hospital Tunku Ja'afar (HTJ), Seremban.

Bayi kecil baru berusia tiga bulan itu memerlukan penjagaan rapi selepas disahkan menghidap 10 jenis penyakit, antaranya masalah jantung, paru-paru tidak matang, angin pasang, kurang darah dan sumbing.

Ibunya, Noorafizah Zainudin, 35, berkata, sejak dilahirkan pada 2 Mac lalu, tubuh anaknya berselirat dengan pelbagai wayar untuk bantuan pernafasan, termasuklah untuk pemantauan secara menyeluruh.
Bayi derita 10 penyakit
Katanya, walaupun jantung bayinya itu pernah beberapa kali terhenti, namun dia masih tetap berjuang untuk terus bernafas dan sembuh sepenuhnya.

Lahir tak cukup bulan

Bercerita lanjut, Noorafizah berkata, dia reda dengan ujian dari ALLAH SWT dan perlu kuat untuk berhadapan dengan ujian itu.

"Masa kandungan saya berusia tujuh bulan lebih, saya terpaksa dibedah kerana lapisan dalam bekas luka pembedahan lama telah koyak.

"Kelahiran Muadz juga tak seperti bayi-bayi lain, dia lahir dalam keadaan tahap kesihatan tidak memuaskan sedangkan sepanjang tempoh kandungan, pemeriksaan berkala yang dilakukan mendapati kandungan normal, dan saya hanya dipantau sebab kencing manis dan darah tinggi (hanya ketika mengandung),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Perdana Telok Kemang.

Katanya, sejurus dilahirkan anaknya terus dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta dimasukkan ke dalam inkubator.

“Perasaan sedih memang tak dapat digambarkan bila dapat tahu keadaannya. Masa tu memang saya tak kuat, tengok pula keadaan anak yang dipasang macam-macam wayar.

"Sekarang ni saya dah reda dan perlu kuat untuk hadapi situasi ini untuk Muadz dan lima anak yang lain,” katanya lagi.

Tambah Noorafizah, anaknya perlu menjalani pembedahan tetapi ditangguhkan buat sementara waktu untuk menunggu pernafasan Muadz kembali stabil.

"Tapi sehingga kini Muadz masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Selasa minggu lepas, ada berita gembira kepada kami, doktor kata pernafasan Muadz dah stabil dan dia boleh dipindahkan ke wad biasa serta boleh menjalani prosedur pembedahan.

"Tetapi masa nak pindahkan Muadz ke wad lain, pernafasannya kembali tak stabil dan terpaksa dimasukkan semula ke ICU. Sejak dari itu, dia koma. Kalau dulu dia boleh juga senyum kalau diusik tapi sekarang ni keadaannya berbeza,” katanya.

Bukan mahu meminta-minta

Sementara itu, suaminya, Mastuja Talsim, 45, memberitahu, semasa Muadz dilahirkan, terdapat satu lubang pada jantung anaknya, namun kini bertambah sukar apabila terdapat dua lagi lubang pada jantungnya.

“Paru-paru Muadz juga belum dapat berfungsi dengan baik, kerana tak matang dan angin pasangnya juga semakin membesar,” katanya.

Katanya, pendapatannya sebanyak RM900 sebulan sebagai pengawal keselamatan hanya cukup makan sahaja.

"Bukan mahu meminta-minta tetapi saya kadang-kadang temui jalan buntu. Sebelum ni, walaupun dengan pendapatan rendah, Alhamdulillah ia cukup walaupun sekadar cukup-cukup makan serta semua anak depan mata dan sihat-sihat.

“Tapi sekarang situasinya lain, ada anak yang sedang dirawat di HTJ kerana menderita 10 jenis penyakit dan perlukan lebih perhatian dari kami,” katanya sambil bergenang air mata.

Katanya, dia bersyukur kerana ada rakan-rakan, jiran serta saudara mara yang prihatin dengan nasib menimpa keluarganya.

"Untuk ulang alik ke HTJ, saya pinjam kereta adik ipar, dan kalau kami di HTJ, emak tolong tengok-tengokkan lima lagi anak kami di rumah dan begitulah rutin kami sejak tiga bulan lalu.

“Kerja saya juga kadang-kadang terganggu, kalau dulu dapat la kerap buat kerja lebih masa tapi sekarang apa-apa Muadz perlu didahulukan.

“Kadang-kadang doktor telefon, minta saya dan isteri segera ke HTJ sebab keadaan Muadz kritikal dan sebagainya,” katanya.

Harap anak sihat segera

Mastuja berkata, dia sering berdoa agar ALLAH sentiasa memudahkan urusan anaknya itu selain berharap anak bongsunya itu segera sihat.

"Buat masa ni, doktor belum beritahu lagi jumlah sebenar kos rawatan untuk Muadz, tetapi tak dapat dinafikan kami kini berhadapan dengan masalah kewangan, itu belum termasuk kos ulang alik ke HTJ dan kos lampin Muadz,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mastuja di talian 014-523 7140 atau terus ke akaun Maybank Mastuja Taslim 1560-1216-9913.

0 comment... add one now