Lagi Syarikat Penerbangan Didakwa Gagal Lunas Gaji Pekerja?

PETALING JAYA: Belum reda isu sebuah syarikat penerbangan bermasalah, timbul pula dakwaan pemain industri sama gagal membayar gaji kira-kira 300 pekerja.

Sebelum ini dilaporkan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air tidak melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangannya mencecah jutaan ringgit.

Terkini, kes hampir sama didapati berlaku pada sebuah syarikat penerbangan carter tempatan, yang memberi perkhidmatan di luar negara.

Nasib sebahagian daripada kira-kira 300 pekerjanya yang majoriti beragama Islam menjadi tanda tanya menjelang sambutan Aidilfitri.

Antara mereka ada yang sudah  berkeluarga dan mempunyai  tanggungan, selain masing-masing memerlukan bajet bagi meraikan musim perayaan itu.

Sumber yang juga salah seorang kakitangan syarikat penerbangan itu mendedahkan kepada mStar Online mengenai isu tunggakan gaji, sekurang-kurangnya selama tiga bulan sejak Mac lalu.

Dia yang enggan dikenali mendakwa, selain gaji asas, tunggakan itu turut membabitkan elaun juruterbang dan kru kabin.

"Sudah tiga bulan kami tak dibayar gaji iaitu Mac, April dan Mei. Pada mulanya pihak pengurusan berdolak-dalih bila kami bertanyakan tentang gaji.

"Mereka minta kami bersabar dan menjanjikan macam-macam, ada yang kata gaji akan dibayar pada sekian-sekian tarikh. Tetapi janji hanya tinggal janji dan hingga kini gaji masih tak dibayar.

"Selepas didesak beberapa kali, pihak pengurusan akhirnya terpaksa menjelaskan tunggakan itu disebabkan masalah kewangan," katanya, kepada mStar Online dalam pertemuan di sini, baru-baru ini.

Difahamkan, sejumlah kakitangan membangkitkan tuntutan gaji yang tidak dibayar sehingga pihak pengurusan tidak dapat memberi maklum balas satu-persatu dengan segera.

Menerusi  emel respons daripada bahagian sumber manusia syarikat penerbangan itu kepada sejumlah kakitangan dua minggu lalu, ia hanya menggunakan istilah 'sebahagian bayaran dan pendahuluan' akan dipertimbangkan.

Ia berkata, 'permintaan' itu akan dinilai berdasarkan kes demi kes, dan pekerja akan dimaklumkan sebaik sahaja sejumlah bayaran disalurkan kepada mereka.

"Syarikat akan membayar gaji anda, dan bukannya jumlah yang anda kehendaki, sekiranya kita mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian," katanya.

Sumber mendakwa, bagaimanapun terdapat segelintir pekerja telah mendapat 'sebahagian' bayaran, bergantung kepada desakan dalam membuat tuntutan, selain atas faktor berkepentingan, bagi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar.

Sehubungan itu katanya, dia bersama rakan-rakan lain menuntut tunggakan gaji yang masih belum dilunaskan.

"Bayaran gaji merupakan sebahagian daripada operasi syarikat penerbangan, termasuk kakitangan.

"Oleh itu, kami menuntut pihak pengurusan melunaskan tunggakan gaji kerana kami mempunyai keluarga dan komitmen lain yang perlu ditanggung," katanya mengenai tuntutan sebelum mempertimbangkan untuk tindakan undang-undang.

Sebelum ini dilaporkan Rayani Air tidak melunaskan tunggakan gaji kira-kira 400 kakitangan berjumlah jutaan ringgit, selain berdepan masalah operasi.

Rayani Air yang digantung operasi selama tiga bulan bagaimapun telah dibatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) serta pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada minggu lalu.

0 comment... add one now