Kejam, Suami Paksa Isteri Minum Racun

KOTA BHARU – Seorang pekerja kontrak dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, semalam atas tuduhan cuba membunuh isterinya dengan memaksa wanita itu menelan cecair racun.
Paksa isteri minum racun
Tertuduh, Mohamad Abdullah Zaini, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa memaksa Syarifah Mohd Yusoff, 35, meminum racun di sebuah rumah beralamat di Kampung Pak Roman, Machang, pada jam 6 petang, 2 Jun lalu.

Tertuduh juga didakwa mengakibatkan kecederaan kepada mangsa akibat perbuatan itu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Susulan penafian tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Fahrul Razi Zainal Abidin memohon tarikh sebutan untuk mendapatkan laporan kimia dan laporan perubatan mangsa, serta tidak mencadangkan jaminan berikutan tuduhan serius yang dihadapi.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Julai depan dan tertuduh yang tidak diwakili peguam itu akan dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa, di sini, sehingga kes disebut pada tarikh berkenaan.

Dalam kejadian lalu, tertuduh bergaduh dengan isteri kerana perselisihan faham dalam rumah tangga dan dia dikatakan memaksa mangsa minum racun dengan mencurahkannya ke mulut mangsa.

Mangsa dapat menepis, namun terminum sedikit cecair itu hingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

0 comment... add one now