Rabu, 15 Jun 2016

Jumpa Ular Dalam Mangkuk Tandas Lepas Selesai Bersahur

TELUK INTAN, 15 Jun - Sebuah keluarga terkejut apabila menemui seekor ular tedung hitam yang melingkar di dalam mangkuk tandas rumah mereka di Kampung Sungai Kerang ketika bangun sahur.

Menurut Mohd Sahidi Saad, 38, kejadian itu berlaku ketika dia baru selesai bersahur dan menuju ke tandas rumahnya.

"Apabila saya masuk, saya melihat satu objek hitam berkilat sebesar lengan kanak-kanak di dalam mangkuk tandas dan ia bergerak.

"Selepas diamati saya mendapati ia adalah seekor ular tedung hitam dan terus memaklumkan kepada ahli keluarga supaya tidak ke tandas," katanya sebagaimana lapor Sinar Online.

Beliau kemudian bertindak menelefon Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Hilir Perak untuk mendapatkan bantuan menangkap ular terbabit.

"Sementara menunggu JPAM sampai saya tidak membenarkan anak-anak masuk ke dalam tandas dan mereka ke sekolah tanpa mandi.

"Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga mengalami kejadian ular masuk ke dalam rumah dan saya percaya ia datang dari saluran pembetungan," katanya.

Pegawai Pertahanan Awam Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, setibanya anggota JPAM ke rumah mangsa, mereka mendapati ular berkenaan berada di dalam lubang mangkuk tandas.

"Apabila anggota saya menghulurkan pengepit, ular berkenaan bertindak mematuk batang pengepit tersebut dan menunjukkan sifat agresif.

"Tetapi dengan kepantasan anggota saya mereka berjaya menggunakan sebuah lagi penyepit bagi menangkap ular tedung tersebut dan dibawa keluar dari lubang tandas," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan