Selasa, 14 Jun 2016

Ibu Mangsa Dera Berteriak “Mu Bunuh Anak Aku..!”

KEMAMAN – Suasana tenang di pekarangan Mahkamah Majistret Kemaman, di sini, bertukar riuh apabila seorang wanita berulang kali menyebut ‘Mu bunuh anak aku!’ ketika sekeluarga empat beranak yang dituduh membunuh seorang gadis berusia 22 tahun dibawa keluar sebaik selesai prosiding.Siti Sarah (kanan) dan ibu tirinya, Murni (tengah) dihantar semula ke penjara Bentong sejurus prosiding selesai.

Wanita berkenaan merupakan bekas isteri kepada Anuar Jusoh, 49, yang dituduh bersama-sama tiga ahli keluarganya, Murni Ahmad, 35, Siti Sarah, 21, dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, membunuh anak kandungnya, Siti Hajar pada 26 April lalu.
Mahkamah Majistret Kemaman semalam, menetapkan 18 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes empat beranak didakwa membunuh ahli keluarga mereka itu yang ditemui mati dengan berat hanya 18 kilogram.
Bekas isteri Anuar yang datang dari Pulau Pinang dipercayai bertindak sedemikian kerana terlalu pilu dengan kematian menyayat hati anaknya dan gagal mengawal emosi saat melihat wajah bekas suaminya ketika dibawa masuk ke dalam kenderaan.
Mahkamah Majistret Kemaman semalam menetapkan 18 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes empat beranak yang didakwa membunuh ahli keluarga mereka itu.
Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan pergigian dan laporan kimia lengkap dari Jabatan Kimia Petaling Jaya.
Mengikut fakta kes, Siti Hajar didakwa telah dibunuh oleh Anuar, Murni yang merupakan ibu tirinya serta dua adiknya di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai, Chukai, di sini pada kira-kira jam 10.45 malam.
Bagi kesalahan itu, empat beranak tersebut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sejurus selesai prosiding, Anuar dihantar ke Penjara Marang, Murni dan Siti Sarah ke Penjara Bentong, Pahang, manakala adik lelaki mangsa ditempatkan di rumah perlindungan di Rusila, Marang.
Dalam pada itu, Syazwani ketika ditemui pemberita berkata selepas memperoleh laporan pergigian dan laporan kimia, pihaknya akan memohon satu tarikh daripada mahkamah untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Kes kematian Siti Hajar menjadi tumpuan ramai apabila pihak polis mendedahkan bahawa laporan bedah siasat mengesahkan punca kematiannya disebabkan jangkitan kuman dan kebuluran hingga badannya hanya seberat 18 kilogram selain terdapat kesan gigitan manusia pada tubuhnya. – Sinar Harian Online

Tiada ulasan:
Write ulasan