Foto Faye Kusairi Tiada Maksud Sindir Elly Mazlein

KUALA LUMPUR: Pelakon Faye Kusairi menjelaskan foto yang dimuat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini tidak bermaksud untuk menyindir mana-mana pihak sehingga ia mencetuskan kontroversi.

Faye atau nama sebenarnya Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 29, berkata, foto dengan kapsyen itu dimuat naik ketika mengenang kembali saat paling sukar yang dilalui ketika dituduh menjadi orang ketiga punca keruntuhan rumah tangga pelakon Elly Mazlein.

"Gambar itu sebenarnya diambil ketika saya dilanda gosip itu dan masa itu hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya terpaksa meneruskan kerja walaupun hati tidak tenteram.

"Jadi saya memuat naik gambar itu dengan kapsyen luahan hati hanya untuk diri sendiri sahaja, maklumlah saya dahulu penulis blog dan suka menulis, jadi saya menulis apa yang saya gambarkan ketika itu," ujarnya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Koleksi Lebaran Benang Hijau, di sini, malam Rabu.

Faye diminta mengulas tentang foto dengan kapsyen luahan perasaan yang didakwa sengaja untuk menyindir pelakon Elly Mazlein selepas kontroversi berkenaan.

Faye bagaimanapun enggan mengulas panjang tentang kontroversi berkenaan dan berharap ia tidak lagi berulang sehingga menjejaskan namanya sebagai anak seni.

Sementara itu, diminta mengulas tentang perkembangan kejadian rumah ibu-bapanya diserbu pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 10 April lalu kononnya atas aduan khalwat, Faye berkata, pihak Jais masih dalam siasatan tentang perkara itu.

Bagaimanapun dia akan tetap meneruskan keputusannya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Jais kerana telah menjatuhkan maruah dia dan keluarga.

"Saya dimaklumkan bahawa pihak Jais masih lagi dalam proses siasatan dalaman dan Insya-Allah pada Julai baru tahu jawapan mereka.

"Namun, saya akan tetap teruskan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada agensi itu kerana mereka menyalahgunakan kuasa sehingga saya dan keluarga rasa terinaiya," ujarnya.

Pada 10 April lalu, Faye mendakwa kediaman keluarganya telah diceroboh oleh Jais kira-kira pukul 2.30 pagi tanpa sebarang usul periksa.

0 comment... add one now