Rabu, 29 Jun 2016

Derita Penyakit Jantung Belubang, Bayi Ini Perlukan RM38,000


KEMAMAN – Bayi sindrom down berusia lima bulan yang menderita penyakit jantung berlubang, Nur Faiha Nazifa Amran masih memerlukan RM38,000 bagi menampung kos pembedahan yang perlu dilakukan segera demi menyelamatkan nyawanya.
Nur Faiha Nazifa perlu RM38,000 lagi
Ibunya, Aizawati Mohd Yassin, 28, berkata, sehingga semalam, sebanyak RM7,000 berjaya dikumpulkan yang merupakan sumbangan disalurkan terus ke akaun milik suaminya, Amran Ali, 32, selepas kisah penderitaan anak ketiganya itu disiarkan Sinar Harian, minggu lalu.

“Tengok RM7,000 dalam bank, buatkan hati saya dan suami sedikit lega. Walaupun masih belum cukup untuk tampung kos pembedahan berjumlah RM45,000, namun sekurangnya duit sudah ada.

“Berkat doa dan keprihatinan orang ramai, keadaan Faiha beransur stabil. Kalau sebelum ini dia kerap demam dan menangis, tapi sekarang dia dah mula senyum. Bila saya sebut namanya, dia ada respons. Dia tak lagi tidur sepanjang masa seperti sebelum ini,” katanya.

Faiha yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 5 Jun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru, masih ditahan di wad.

Aizawati berkata, disebabkan lubang pada jantung anaknya itu agak besar (tujuh milimeter), doktor mengubah keputusan untuk melakukan pembedahan ketika berat badan bayinya empat kilogram dan bukan enam kilogram seperti diputuskan sebelum ini.

“Pagi tadi (semalam) berat badan Faiha naik kepada 3.63 kilogram. Untuk pastikan berat terus naik, doktor campur sejenis minyak ke dalam susu Faiha. Dengan keadaannya yang nampak makin sihat, mudah-mudahan berat badannya cepat capai empat kilogram.

“Kemungkinan besar pembedahan boleh dibuat lepas Aidilfitri ini, tak boleh lambatkan sebab saiz lubang pada jantung agak besar,” katanya.

Menurut Aizawati, meskipun doktor memaklumkan pembedahan itu bukan jaminan untuk bayinya sihat sepenuhnya kerana turut menghidap sindrom down, namun sekurangnya bayinya itu tidak lagi menanggung kesakitan akibat jantung bocor.

“Doktor maklumkan, selepas pembedahan mungkin Faiha masih perlukan bantuan oksigen kalau dibawa pulang ke rumah atau ditahan dalam tempoh lama di wad. Apa yang penting sekarang, jantungnya yang berlubang perlu ditutup dahulu,” katanya.

Sementara itu, Amran yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta di Kawasan Perindustrian Jakar III berkata, tuntutan kerja menyebabkan dia terpaksa menyerahkan tugas menjaga Faiha kepada isteri sepenuhnya dan akan menjenguk pada hari cuti.

“Saya perlu kerja untuk tanggung isteri dan anak. Duit sumbangan memang tak usik untuk tanggung kos pembedahan. Terima kasih kepada orang ramai yang membantu,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu menampung kos pembedahan Faiha, boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 155126955963 milik Amran Ali atau menghubunginya di talian 019-9377282.

Tiada ulasan:
Write ulasan