Selasa, 21 Jun 2016

'Dah 3 Tahun, Baru Dapat Album Kahwin...'

Ini adalah kesilapan yang paling besar dalam hidup yang saya tak dapat perbetulkan lagi. Tiada cara untuk merakam kembali detik-detik yang amat berharga pada tahun 2013 itu. Wajah kegembiraan kami dan ada yang sudah tidak mampu untuk melompat tinggi. Pendek kata, tak dapat nak undurkan masa.

Alkisahnya, selepas membuat banyak penilaian dan pencarian tentang perkhidmatan jurugambar perkahwinan, kami memilih Weddings Media. Lalu kami buat temujanji dengan Herie Hafiz di Seri Gombak. Masing-masing mencapai persetujuan untuk cover tiga pengantin dalam satu majlis dari majlis resepsi pihak perempuan, pihak lelaki, sesi outdoor dan lengkap dengan album semua.

Segalanya berjalan lancar dan dia menjanjikan bulan dan bintang kepada kami. Selesai majlis, perangai sebenarnya mula terserlah.

Kami telah dipaksa bersetuju dengan gambar pilihannya. Bila kami meminta dia memberi pilihan lain atau meminta dia mempertimbangkan semula gambar-gambar yang dia pilih, dia tak berapa gemar kami berbuat begitu.

Masa mula-mula deal, dia janjikan album design baru berkaca bagai, tetapi tiada satu pun yang ditunjukkan kepada kami. Segala komen saya mengenai gambar yang dirakamnya, tidak diendahkan dan saya mula perasan sikap angkuhnya dalam menerima kritikan. Saya bukanlah profesional tetapi saya boleh beritahu yang hasil gambar yang dirakam itu adalah teruk.

Pencahayaan gambar teruk, gambar tak fokus pada subjek, kabur dan dipenuhi dengan 'noise'. Detik-detik pengantin yang dirakam juga tidak menarik dan tiada citarasa. Potongan gambar teruk, entah bagaimana dia boleh memilih gambar yang kabur dengan ekspresi wajah yang tidak sesuai untuk dimasukkan dalam album.

Selain itu, dia tidak menepati tarikh siap yang telah ditetapkan. Sehingga kami mengambil masa selama 3 tahun untuk mendesak, merayu pada dia untuk siapkan album kahwin kami. 3 tahun pertama kehidupan selepas berkahwin, takkan nak dibazirkan untuk kejar seorang jurugambar yang telah dibayar untuk memberikan hasil yang bagus?

Kalaulah masa itu boleh dijual, saya pasti lelaki ini pasti akan membeli 'masa' seperti tiadanya hari esok. Tangguh dan tangguh, langsung tiada sebarang kata maaf. Selain itu, imej resolusi tinggi juga tidak pernah diberikan. Saya rasa dia sebenarnya tak menyimpan gambar perkahwinan kami. Sebaliknya hanya menggunakan gambar-gambar yang diberikan di peringkat awal pemilihan gambar kahwin sebelum ini.

Setiap tahun menjelang hari raya, kami asyik ditanya, "Mana album kahwin?" menyebabkan beberapa ahli keluarga kami tertekan. Di bawah adalah beberapa contoh gambar yang tidak berkualiti dari Weddings Media diberikan kepada kami selepas tiga tahun menunggu. Dan langsung tiada sebarang permohonan maaf pada kami. Apa yang dilakukan oleh jurugambar ini langsung tidak dapat diterima.























Mahukah anda mengambil risiko detik-detik terindah majlis perkahwinan anda dirakam oleh individu ini? - Fadzli |

Tiada ulasan:
Write ulasan