Isnin, 27 Jun 2016

'Berpantang, Hak Mutlak Wanita' - Siti Aishah

Perkongsian dari Siti Aishah ini amat wajar dibaca dan difahami oleh setiap lelaki yang bergelar suami. Jangan hanya tahu melepaskan nafsu terhadap isteri, namun tidak mengambil berat akan perubahan badannya selepas bersalin. 

Bukan hanya lelaki yang mahu kekal kelihatan segak bergaya selepas kahwin, malah wanita juga mempunyai hasrat yang sama. Kisah yang dikongsikan oleh Siti Aishah ini amat penting untuk menyedarkan pada lelaki bahawa, berpantang selepas bersalin adalah 'Hak Mutlak' setiap wanita. 

Dalam perkongsian cerita yang dimuat naik di Facebooknya, Siti Aishah menerima seorang pelanggannya yang datang dari golongan keluarga perubatan. Kesemua ahli keluarga lelaki dari ayah, abang, adik lelaki, malah suaminya juga adalah ahli perubatan. 

"Anak paling bongsu sudah menjejak setahun. Sejak dari kelahiran anak pertama, dia tidak pernah berpantang kerana tidak pernah tahu bahawa berpantang itu perlu selepas bersalin. 

"Dia juga tidak pernah makan sebarang ubatan herba kerana ayahnya berkata, herba tidak valid untuk kesihatan selepas bersalin. Tambahan, tiada bukti saintifik yang mengatakan hubungkait antara pantang makan dan kesihatan ibu selepas bersalin," ceritanya. 

Difahamkan, badan wanita itu sudah mula berasa sakit sejak hujung tahun 2015. Abang-abangnya mendakwa dia tidak cergas lalu disuruh pergi bersenam di gym. Dia akur namun badannya tidak dapat menerima senaman berat. 

Si adik lelaki pula menuduhnya tidak mengamalkan pemakanan sihat, lalu dinasihatkan mengambil supplemen yang bersesuaian. Namun tidak mendatangkan sebarang perubahan kerana sakitnya masih belum pulih. 
"Mengapa kerap sakit? Bukankah awak masih muda?" soal ayahnya namun soalan itu tidak dapat dijawab. Lalu ditelan ubat penahan sakit setiap kali mahu berdepan dengan ayahnya. 

"Asyik sakit saja yang, bila nak sihat?" dengus si suami yang membuatkan wanita itu tersentuh jiwa. Bukannya dipinta sakit-sakit itu. 

Menurut Siti, setiap pagi menjejak kaki adalah satu azab kerana tapak kakinya seakan-akan dicucuk duri. Hendak menjalani solat fardhu juga terbatas kerana lutut dan tumitnya sakit menyebabkan kesukaran untuk berdiri, sujud dan ruku. 

"Pinggang? Terasa menyucuk dan adakalanya kebas. Bila bersama (dengan suami) rasa azab," ceritanya. 

Selain itu, sendi-sendinya juga terasa seperti dicucuk jarum. Lebih azab lagi apabila terkena penghawa dingin dalam rumah yang memang menggunakan penghawa dingin. Maka, terpaksalah dia menahan keperitan. 

Lebih teruk lagi, kemaluan wanita itu juga mengalami keputihan, berbau, berlecak dan longgar. Menyebabkan hubungan dengan pasangan mula hambar. 

Dalam diam, wanita itu datang ke pusat rawatan Siti Aishah meminta diurut dan dirawat. 

"Dia mengadu, cerita badan dah nak roboh. Sampai satu tahap, urutan saya tidaklah kuat mana tetapi disebabkan urat yang tenat, menangis dan menyesal tak jaga badan dalam pantang. 

"Kami urutan dan tuaman dia dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan urat demam bentan. Nak bagi akar herbanika, tengah berpuasa pula. Saya bekalkan uncang akar dan Pyhto Natal. Mudah-mudahan dia akur nak mula makan herba demi kesihatan dalaman yang sudah melunai," katanya. 

Wanita malang itu rupa-rupanya anak yatim yang membesar tanpa ibu. Kakak-kakak iparnya pula tidak berani masuk campur kerana keluarga mereka di dominisai oleh lelaki yang tidak faham dan percaya aturan berpantang. Ibu mertua juga sudah menasihatkan, namun awal-awal lagi sudah ditapis oleh si suami. 

Wanita itu hanya mampu redha. Segala kesakitan badannya seperti dilumat dan dicincang akibat tidak menjaga badan selepas bersalin, ditanggung seorang diri. 

"Sebelum balik, dia berkata, golongan lelaki tidak akan memahami sakit wanita. Golongan lelaki yang bergelar suami sepatutnya membiarkan isteri mereka menentukan hal mereka tanpa pandangan lelaki. Selagi ia tidak melarikan akidah," katanya. 

Justeru, Siti berharap agar ramai yang memahami mengapa perlunya wanita berpantang selepas bersalin, meskipun bercanggahan dengan dunia perubatan moden. Ini kerana, yang menanggungnya adalah isteri dan suami tidak akan dapat mengubatinya. 

"Biarlah kami mencegah dari menjadi parah. Berpantang hak mutlak wanita," katanya. 

Tiada ulasan:
Write ulasan