Selasa, 28 Jun 2016

Baju Raya, RUmah Hangus Terbakar

JERTIH - Kegembiraan sebuah keluarga untuk menyambut ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi hilang sekelip mata apabila rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 10 malam di Kampung Lak Lok Dalam itu menyebabkan keseluruhan harta benda termasuk perkakas di dalam rumah dan pakaian raya anak-anak hangus terbakar.

Kebakaran berlaku ketika tidur

Mangsa, Zubaidah Mat Din, 32, berkata, ketika kejadian, dia bersama lima anak berusia 1 hingga 13 tahun sedang tidur di dalam rumah, manakala suami, Mohd Hussin Ismail, 35, keluar minum di warung di kampung sebelah.

Menurutnya, dia yang terjaga daripada tidur kemudian ternampak api di bahagian atas rumah.

“Ketika itu, kami semua dah terlena. Saya dan anak bongsu (Syahrul Hamid) tidur bersama di dalam sebuah bilik berhampiran dapur, sementara empat lagi anak tidur di ruang tamu.

“Sebaik melihat api, saya berlari mengejutkan empat anak yang sedang tidur dan bawa mereka lari keluar rumah. Selepas mengeluarkan mereka, saya baru teringat Syahrul Hamid masih di dalam bilik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Zubaidah, dia kemudian berlari semula ke dalam rumah untuk mengeluarkan anak bongsunya, walaupun ketika itu api mula marak di bahagian bumbung rumah.

Katanya, hanya beberapa minit selepas dia mengeluarkan anak kelimanya itu, api mula merebak ke bahagian rumah yang lain.

“Saya menjerit minta tolong ipar yang tinggal bersebelahan. Saya juga minta dia keluar daripada rumah kerana kedudukan rumah mereka hanya beberapa meter daripada rumah saya. Kebetulan suami iparnya juga tiada di rumah kerana keluar minum,” katanya.
Redah api selamat anak
Syukur semua anak selamat

Zubaidah berkata, api marak begitu cepat kerana rumah didiaminya sejak 12 tahun lalu itu diperbuat daripada kayu.

Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik kerana tersedar daripada tidur dan ternampak ada api menyala di bahagian kayu berhampiran lampu elektrik di dalam rumah.

Menurutnya lagi, dia tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada lintas pintas yang bermula dari bahagian lampu tersebut.

"Kami tinggal sehelai sepinggang apabila semua barang termasuk kelengkapan hari raya musnah dalam kebakaran itu. Malah, dua motosikal yang diletakkan di anjung rumah dan tiga basikal anak saya turut terbakar.

"Sedih juga tengok anak-anak yang sebelum ini tidak sabar nak pakai baju baru. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana semua anak selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Adun lawat mangsa kebakaran

Suaminya, Mohd Hussin berkata, dia yang ketika itu sedang minum di sebuah kedai makan di kampung berhampiran, bergegas pulang selepas diberitahu jiran mengenai kejadian itu.

Menurutnya yang merupakan anggota Rela dan bekerja sebagai buruh, kejadian itu amat mengejutkan kerana rumah itu merupakan satu-satunya tempat untuk dia dan keluarga berteduh.

Sementara itu, nasib malang menimpa keluarga ini turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof yang melawat lokasi kejadian, semalam.

Kunjungan itu turut disertai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Besut.

Tiada ulasan:
Write ulasan