Tuntutan Tunggakan Gaji Meningkat Kepada RM3 Juta, Pekerja Rayani Air Mohon Campur Tangan PM

PETALING JAYA: Sekumpulan pekerja Rayani Air menuntut pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran supaya melunaskan tunggakan gaji yang kini memasuki dua bulan dengan jumlah keseluruhan meningkat kepada kira-kira RM3 juta.

Wakil kakitangan syarikat itu, Zulkalnain Azdan berkata, dua bulan gaji melibatkan kira-kira 400 kakitangan, meliputi Mac dan April.

Beliau berkata, pihaknya turut meminta kerjasama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kementerian serta pihak berkaitan untuk membantu menyelesaikan kemelut ini.

“Kami tuntut Ravi sebagai pemilik Rayani Air supaya membayar tunggakan gaji kami yang kini dua bulan berjumlah RM3 juta.

“Kami juga meminta kerajaan terutama Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia bagi menggesa Ravi tampil berjumpa kami untuk memberi penjelasan mengenai isu ini,” katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Zulkalnain yang juga Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) berkata, pertemuan melibatkan kira-kira 20 kakitangan syarikat penerbangan itu diadakan pada petang Ahad yang juga 1 Mei iaitu Hari Pekerja.

Mengenai Hari Pekerja, Zulkalnain menyuarakan rasa terkilan sambil mengenangkan nasib mereka tanpa dihargai majikan syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia itu.

“Walaupun kami yang hadir dalam perjumpaan ini mungkin tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup kerana dua bulan gaji tertunggak, tetapi kami cuba membantu antara satu sama lain bagi mendapatkan hak dan keadilan.

“Sehubungan itu, kami berharap agar suara kami pada Hari Pekerja ini didengari seluruh rakyat Malaysia dan kerajaan terutama Perdana Menteri dalam membantu menyelesaikan masalah bersama majikan kami,” ujar Zulkalnain.

Pada Ahad, mStar Online melaporkan bahawa bahawa bayaran gaji pekerja Rayani Air yang tertunggak masih belum dibuat berikutan rundingan bersama pelabur berpotensi sedang dijalankan untuk mendapatkan dana.

"Kami masih dalam proses rundingan. Kami ada perjumpaan dengan pelabur-pelabur," kata Ravi tanpa mengulas lanjut.

0 comment... add one now